NasionalNegeri

Raja Muda Perlis hargai jasa pengamal media: SUARA MERDEKA terima Anugerah Media Istimewa

RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pengamal media Perlis pada majlis Anugerah Media anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) 2022.

Majlis tersebut diadakan di Galeri Masjid Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Batu 5, Jalan Kuala Perlis, malam tadi.

Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Anugerah Media Istimewa diberikan kepada SUARA MERDEKA sebagai penghargaan.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

Di majlis tersebut, Raja Muda bertitah, media mempunyai peranan yang besar dalam membantu agensi menyampaikan maklumat dan perkembangan mereka.

Walau bagaimanapun, baginda berharap etika kewartawanan perlu sentiasa diberikan perhatian dan keutamaan oleh semua pengamal media.

Selain itu titah baginda, mereka juga perlu mengekalkan sikap profesional, berintegriti, menyalurkan berita sahih, adil, tepat, cepat dan menyampaikan mesej yang positif kepada masyarakat dalam rangka mewujudkan generasi yang madani.

“Jasa, kesungguhan, pengorbanan dan peranan para pengamal media akan sentiasa dikenang dan dihargai oleh rakyat dan menjadi harapan negara agar media terus maju, relevan dan bersama-sama membantu membangunkan negeri dan negara”, titah baginda.

Bersempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2022 ini, MAIPs turut menganjurkan forum khas bertajuk “Amanah Menyampaikan Berita”.

Forum itu menampilkan barisan panel terdiri dari Rektor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Prof. Madya Dr. Muhamad Rozaimi Ramle, Mubaligh Jabatan Mufti Perlis, Ustaz Ahmad Al-Qarni Edrus dan Ustaz Mohd Rizal Azizan yang merupakan Ahli Jawatankuasa Pengurusan Wakaf MAIPs selaku moderator.

Dalam Majlis Apresiasi berkenaan, Raja Muda dan Raja Puan Muda turut berkenan mengurniakan Anugerah Media MAIPs kepada agensi media di negeri ini.

Portal berita SUARA MERDEKA yang bakal genap berusia tiga tahun pada 10 Oktober ini nanti menerima “Anugerah Media Istimewa”.

“Anugerah Jasamu DiKenang” diberikan kepada bekas Pengerusi Kelab Media Perlis (KEMPs), Shahidi Shahidan. – SM

(Visited 497 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button