Nasional

Bajet PRU `kecemasan’ RM600 juta, elok elakkan – Wan Ahmad

PERSIAPAN untuk mengadakan pilihan raya umum (PRU) ke-15 yang dipanggil secara tiba-tiba memerlukan peruntukan kewangan yang besar melebihi RM600 juta, kata bekas Tiimbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar.

Bagaimanapun, beliau berpendapat dalam keadaan ekonomi negara yang suram hari ini, adalah langkah bijak mengelakkan PRU ketika kemelut peralihan kepimpinan kerajaan waktu ini boleh diselesaikan menerusi permuafakatan ahli-ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

“Persiapan untuk memanggil PRU `kecemasan’ ini memerlukan bajet yang tinggi, kalau tak silap saya pada PRU-14, perbelanjaannya dianggarkan sebanyak RM500 juta. Maka untuk PRU hari ini kebiasaannya lebih RM 100 juta dari yang sebelumnya.

“Apa pun, tidak perlu diadakan PRU waktu ini bagi mengelakkan ketegangan politik yang semakin bertambah selain perpecahan masyarakat.

“Saya fikir krisis peralihan kepimpinan kerajaan ini elok sahaja diselesaikan menerusi ketentuan majoriti setiap wakil rakyat yang berjumlah 222 orang,” kata beliau kepada Suara Merdeka hari ini.

Untuk menjalankan proses PRU-14 yang berlangsung 9 Mei 2018, SPR melantik 222 orang Pegawai Pengurus Pilihan Raya.

SPR juga menubuhkan 445 buah Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) untuk tujuan memantau semua aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen.

Pada PRU berkenaan, seramai 259,391 orang petugas dilantik daripada kalangan orang awam untuk pengendalian proses pilihan raya manakala sebanyak 8,989 buah premis bangunan digunakan sebagai Pusat Mengundi yang mengandungi semua 28,995 Tempat Mengundi (Saluran). – SM

(Visited 173 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button