fbpx
Politik

Kerajaan rapuh, serapuh keropok kentang

SELAIN bertih jagung, keropok kentang antara kudapan yang mengasyikkan ketika bersantai atau menonton televisyen di ruang tamu rumah.

Bagaimanapun apabila Astro menghentikan tayangan percuma semua salurannya ramai yang terasa kehilangan.

Terutama kanak-kanak yang mahukan saluran kartun dihidangkan di ruang tamu setiap hari. Ibarat direnggut gula-gula, kanak-kanak mula merengek kepada ibu bapa mahukan saluran kartun dilanggan.

Ibu bapa mana yang sanggup melihat anak berterusan merengek. Hebat juga strategi Astro. Menangguk di air yang keruh.


Bagaimanapun ia amat merunsingkan apabila ia membabitkan kerajaan yang kita ada hari ini rapuh, serapuh keropok kentang.

Pada masa  yang sama ramai yang menangguk di air yang keruh, gunting dalam lipatan terus berjalan dan api dalam sekam semakin marak.

Setiap hari pemimpin dan penyokong kerajaan perlu berdoa serta terus berunding bagi mengekalkan sokongan kepada kerajaan yang ada bagi mengelakkan lompatan berirama sokongan ke pihak pembangkang.

Pembangkang pula semakin galak mengguncang pepohonan agar mereka yang gayat melompat ke dahan lain.

Barisan Kabinet yang ada dan para petugas juga pastinya tidak pernah tidur lena sejak kembali ke tampuk pemerintahan. Bila-bila masa sahaja mereka boleh kehilangan pekerjaan.

Persoalannya sampai bila? Kerajaan yang ada ibarat berjalan dititian usang, robohnya sudah pasti cuma masanya sahaja masih menjadi percaturan dan tekaan.

Sebaiknya reda sahaja wabak pandemik Korona, buatlah pilihan raya demi meredakan keresahan yang turut menular kepada jelata.

Walaupun majoriti selesa dengan kerajaan baharu ini, tetapi mereka juga mahukan kerajaan yang stabil bagi menjamin masa hadapan negara yang lebih baik menjangkau dekad dan bukan hanya kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Umum lega kerajaan yang ada hari ini adalah sebuah kerajaan yang memahami kehendak rakyat, tetapi majoriti resah dengan kerapuhan kerajaan bagaimana ke hadapan kelak untuk berdepan dengan cabaran lebih besar termasuk memulihkan ekonomi negara ketika seluruh dunia ekonominya luluh dek wabak pembunuh Korona.

Pemerhati politik menjangkakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan membubarkan Parlimen sebaik pembentangan belanjawan negara.

Beliau tidak boleh tunggu lama lagi kerana jika situasi ini berlarutan ia tidak baik untuk negara yang kita cintai.

Ini bermakna jika belanjawan 2020 dibentang pada Oktober tahun lalu, maka tempoh haulnya adalah pada Oktober tahun ini, iaitu berbaki kira-kira empat bulan sahaja.

Mudah-mudahan rakyat menghargai sumbangan kerajaan yang begitu singkat ini dan memberi mandat besar untuk terus menerajui negara untuk penggal-penggal seterusnya. – SM

Show More

Related Articles

Back to top button