Nasional

Kerajaan Kedah siasat punca pencemaran air di Mukim Kupang

KERAJAAN Kedah akan menjalankan siasatan segera bagi mengenal pasti punca pencemaran air yang dihadapi penduduk di sembilan kampung dalam Mukim Kupang di Baling, yang didakwa berlarutan sejak 10 tahun lepas.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata antara perkara utama yang akan disiasat adalah pembinaan ‘perangkap selut’ yang perlu ada di kawasan pembalakan atau projek pertanian di situ, bertujuan untuk mengurangkan selut yang turun ke dalam kawasan takungan air penduduk.

“Biasanya (pemaju) perlu bina perangkap ini di setiap teres (untuk tujuan pertanian), ia macam satu lubang besar, bila air hujan bersama selut turun, mendapan atau keladak masuk situ dulu dan hanya air yang elok turun ke takungan.

“Pihak kerajaan akan pastikan dahulu adakah kaedah itu (perangkap selut) dipatuhi atau tidak, kalau tiada pihak berkaitan perlu segera membinanya di setiap kawasan yang diusahakan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Cabutan Kerja Undi Secara Online Bagi Projek MARRIS Dan Pakej Rangsangan Ekonomi Negeri Kedah di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan media semalam yang mendakwa lebih 750 keluarga di Kampung Iboi, Masjid Iboi, Padang Empang, Kubang Katak, Bukit Kawi, Iboi Sekolah, Lata Celak, Bok Bak dan Bukit Iboi di Baling berhadapan masalah pencemaran air untuk kegunaan harian sejak 10 tahun lalu.

Pengerusi Bekalan Air Masyarakat (BAM) Kampung Iboi, Malik Arshad dilaporkan mendakwa air daripada takungan yang dibina penduduk tercemar teruk dipercayai berpunca daripada projek tanaman Musang King dan aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Gunung Inas.- BERNAMA

(Visited 224 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button