fbpx
Nasional

Kenapa lantikan politik di PPN, PPK tidak gugur?

Ahli pertubuhan peladang di seluruh negara mempersoalkan kenapa lantikan politik di Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) tidak gugur selepas kerajaan baharu pimpinan Perikatan Nasional (PN) menamatkan perkhidmatan Datuk Mazlan Aliman sebagai Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) pada 1 April lalu.

Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) Datuk Mustaffar Kamal Ab Hamid berkata, selaras dengan keputusan kerajaan PN menamatkan perkhidmatan Mazlan, adalah sewajarnya lantikan politik di PPN dan PPK yang dibuat kerajaan Pakatan Harapan (PH) turut digugurkan atau ditamatkan perkhidmatan.

“Kini, bukan saja menteri terdahulu sudah tiada, Pengerusi LPP yang dilantik oleh kerajaan PH juga telah ditamatkan perkhidmatannya.

“Jadi, bagaimana lantikan politik kerajaan PH di PPN dan PPK masih boleh terus kekal dengan jawatan mereka, tidakkah mereka sedar yang melantik mereka sudah tiada dan ditamatkan perkhidmatan,” soalnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MOA) menamatkan perkhidmatan Mazlan selaku Pengerusi LPP berkuat kuasa 1 April lalu.

Menterinya, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, keputusan berkenaan diambil selaras dengan penyusunan barisan Anggota Pentadbiran Kerajaan yang dibuat pada 9 Mac lalu.

Mustaffar Kamal berkata, dengan perkembangan itu, adalah wajar mereka yang memegang jawatan melalui lantikan politik di PPN dan PPK segera melepaskan jawatan masing-masing.

“Pandangan saya, mereka sepatutnya malu menggalas tugas diberikan kerana ‘bos’ mereka sudah tiada, demi maruah dan harga diri lepaskanlah jawatan,” ujarnya.

Beliau dalam pada itu berkata, penamatan segera jawatan lantikan politik di PPN dan PPK perlu dibuat bagi memastikan rangsangan sebanyak RM1 bilion kepada Dana Jaminan Makanan yang diumumkan kerajaan PN sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran penularan wabak Covid-19 dapat digerakkan dengan sempurna.

Ini kerana katanya, mereka terlibat secara langsung bagi menyalurkan bantuan kepada golongan peladang tetapi bagaimana ia hendak dilaksanakan kerana mereka kurang memberikan kerjasama.

Menurutnya, biarlah hanya individu yang betul-betul berkebolehan, berwibawa dan layak dilantik di PPN serta PPK demi memastikan gerak kerja di peringkat berkenaan tidak terganggu. – SM

Show More

Related Articles

Back to top button