fbpx
Nasional

Keputusan tamat perkhidmatan Mazlan tepat

KEPUTUSAN Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee menamatkan perkhidmatan Datuk Mazlan Aliman sebagai Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) adalah keputusan yang wajar dan tepat.

Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) Datuk Mustaffar Kamal Ab Hamid berkata, beliau menyokong penuh keputusan berkenaan dan percaya semua ahli pertubuhan peladang juga menyambut baik perkara itu.

“Sepatutnya apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang, Mazlan seharusnya meletak jawatan sebagai Pengerusi LPP kerana merupakan lantikan politik, namun beliau tidak berbuat demikian.

“Kita mengucapkan terima kasih kepada Menteri Pertanian dan Industri Makanan kerana membuat keputusan yang tepat dan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mazlan dilantik menjawat ke jawatan itu oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani sebelum ini, Datuk Salahuddin Ayub berkuatkuasa 1 November 2018 sehingga 31 Oktober 2020.


Ahli-ahli peladang difahamkan, Ronald telah menghantar surat memaklumkan penamatan perkhidmatan Mazlan pada 31 Mac lalu.

Penamatan itu selaras dengan keputusan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan menyemak semula keanggotaan semua Lembaga Pengarah Badan Berkanun Persekutuan di bawah kementerian susulan barisan Anggota Pentadbiran Kerajaan telah disusun semula pada 9 Mac 2020.

Mengulas lanjut, Mustaffar Kamal berkata, pemilihan Mazlan sebelum ini tidak menggembirakan ahli-ahli peladang kerana beliau banyak menyusahkan Pertubuhan Peladang.

“Pada 2019, Mazlan bersama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani sebelum ini telah mengusahakan pewartaan Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang (Pindaan) 2019.

“Pindahaan itu mendapat bantahan oleh Pertubuhan Peladang seluruh negara kerana dianggap membelakangkan prinsip demokrasi,” katanya.

Beliau dalam pada itu berharap, Pengerusi LPP baharu yang akan dilantik nanti merupakan seorang ketua yang prihatin dan mengutamakan kemajuan ahli-ahli peladang di seluruh negara.

“Apa diharapkan, Menteri Pertanian dan Industri Makanan dapat melantik mereka yang berpegalaman luas dalam peladang terutama dalam pergerakan pertubuhan peladang,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button