Alam SekitarNasionalpilihan

Loji Rawatan Air Kompak Chinchin manfaatkan lebih 100,000 Keluarga Malaysia

MELAKA: Pembinaan Loji Rawatan Air Kompak Chinchin di Melaka akan memberi manfaat kepada lebih 100,000 Keluarga Malaysia khususnya yang berada di daerah Jasin dan Merlimau.

Pembinaan loji tersebut menelan belanja sebanyak RM40 juta dan ia adalah satu inisiatif Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) untuk membantu Kerajaan Negeri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Keluarga Malaysia di Melaka sebelum ini pernah berdepan dengan kemarau sehingga terpaksa mencatu bekalan air pada Januari sehingga Mac tahun 2020.

“Kerajaan Pusat telah meluluskan peruntukan sebanyak RM350 juta melalui Kementerian Alam Sekitar dan Air
(KASA) bagi pembinaan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) Melaka bertempat di Tasik Biru ini bagi menambah
sumber bekalan air mentah di seluruh negeri ini.

“Sebagai penyelesaian jangka panjang, Kerajaan Pusat turut meluluskan peruntukan sebanyak RM150 juta di
bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12), bagi kerja-kerja penyaluran air mentah dari TAPS Melaka ke
Empangan Jus di daerah Jasin yang dijangka siap pada tahun 2028,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian dalam Majlis Perasmian Loji Rawatan Air Kompak Chinchin yang beroperasi menggunakan bekalan air mentah dari Tasik Biru yang merupakan bekas lombong yang tidak lagi digunakan.

Pada masa yang sama, Kerajaan Pusat sedang melaksanakan projek pembinaan TAPS Jernih di daerah
Alor Gajah dengan peruntukan sebanyak RM234.7 juta dan dijangka siap pada tahun 2026.

“Projek pembinaan TAPS di Melaka ini bagi menyelesaikan isu sumber air mentah yang terhad dengan meneroka sumber air mentah baharu yang terdapat di negeri ini.

“Langkah ini bertujuan mengurangkan kebergantungan Melaka terhadap bekalan air mentah dari negeri-negeri lain seperti Johor dan Negeri Sembilan,” katanya.

Selain pembinaan TAPS, peruntukan sebanyak RM600 juta telah diluluskan oleh Kerajaan Pusat melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia bagi projek pembinaan Kolam Dwi-Fungsi di Krubong, Melaka.

“Ini merupakan projek menaik taraf Kolam Tebatan Banjir sedia ada kepada kolam dwi-fungsi bagi menyelesaikan masalah banjir yang sering berlaku di kawasan hilir Sungai Melaka selain berfungsi sebagai kolam simpanan bekalan air mentah sebelum disalurkan ke Empangan Durian Tunggal.

“Kerajaan Pusat sentiasa menyokong usaha Kerajaan Negeri Melaka dalam menjalankan projek dan kajian bagi
meningkatkan sumber air mentah negeri,” katanya.

Usaha tersebut termasuklah kajian kebolehlaksanaan projek Penyaluran Air Sungai Muar Fasa 3 bagi menampung
keperluan Keluarga Malaysia Melaka yang kian meningkat.

(Visited 400 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button