NasionalUncategorized

Kerajaan berusaha bawa pulang 78 rakyat Malaysia di Wuhan

KERAJAAN berusaha membawa pulang 78 rakyat Malaysia yang kini terkandas di wilayah Wuhan akibat penularan wabak berbahaya coronavirus dengan segera.

Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pihaknya sedang mengadakan perbincangan dengan kerajaan China untuk membenarkan rakyat Malaysia keluar daripada wilayah tersebut.

“Kita sedang berbincang dengan kerajaan China untuk membawa mereka keluar. Jepun telahpun membawa keluar rakyat mereka di Wuhan.

“Mereka yang dibawa keluar ini akan dikurantinkan selama 14 hari sejurus tiba di Malaysia,” kata Dr. Mahathir dalam sidang media khas hari ini.

Jelas Dr. Mahathir tarikh rakyat Malaysia dibawa keluar bergantung kepada kebenaran  kerajaan China. Menurut beliau sebanyak  28 buah hospital mempunyai fasiliti kuarantin terhadap pesakit berjangkit.

Dr. Mahathir juga berkata, Malaysia turut menawarkan bekalan makanan, sarung tangan dan topeng muka kepada penduduk Wuhan sekiranya kerajaan China membenarkan rakyat Malaysia pulang ke tanah air.

Menurut Dr. Mahathir terdapat maklumat bahawa bekalan makanan hanya bertahan empat hari sahaja di Wuhan. Bekalan sarung tangan dan topeng muka juga semakin sukar didapati di sana.

“Kekurangan makanan berlaku di Wuhan. Kalau dibenarkan rakyat Malaysia pulang kita akan bawa makanan, topeng muka dan sarung tangan menggunakan pesawat yang akan membawa pulang rakyat Malaysia,” kata Dr. Mahathir.

Wilayah Wuhan ditutup oleh kerajaan China sejak enam hari lalu. Tidak ada sesiapa dibenarkan keluar ada masuk ke dalam wilayah berbabit bagi membending penularan wabak coronavirus.

Semua penerbangan, perkhidmatan kereta api, bas pengantara dan feri digantung bagi mengekang wabak yang setakat ini mengorbankan lebih 100 orang dan menjangkiti lebih 4,500 mangsa itu daripada menjadi ancaman global.

Wuhan adalah bandar pelabuhan utama di wilayah Hubei dengan 11 juta penduduk dan Huanggang yang terletak berhampiran, mempunyai 7.5 juta penduduk manakala stesen kereta api di sebuah lagi bandar, Ezhou, dengan 1.1 juta penduduk, ditutup buat masa sekarang.

Koronavirus baharu itu dipercayai muncul lewat tahun lalu, berpunca daripada haiwan liar yang didagangkan secara haram di Pasar Makanan Laut Wuhan.-SM

(Visited 80 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button