Nasional

Pakej Pemulih dengar suara hati rakyat – CUEPACS

Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin merupakan inisiatif yang benar-benar mendengar serta suara hati rakyat.

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) turut menyifatkan Pemulih sebagai mendengar denyut nadi rakyat yang begitu terkesan dengan masalah kewangan dan kehilangan punca pendapatan.

Presiden CUEPACS Adnan Mat berkata, pakej Pemulih bernilai RM150 bilion secara jelas menunjukkan tiada pihak yang terpinggir dan tertinggal termasuklah golongan B40, M40 serta T20.

Katanya, pelaksanaan moratorium pinjaman selama 6 bulan kepada semua individu tanpa syarat begitu mengembirakan rakyat.

Dengan lebihan wang yang ada membolehkan rakyat merancang semula kewangan keluarga masing-masing tanpa perlu bimbang dikejar oleh pihak bank.

Turut dihargai peruntukan RM10 bilion sebagai sebagai bantuan kewangan tunai secara terus oleh kerajaan melalui Bantuan Prihatin Rakyat dan Bantuan Khas Covid (BKC) serta Bantuan Kehilangan Pendapatan.

“Semua pakej ini menunjukkan keprihatinan kerajaan dengan masalah dialami rakyat akibat terkesan dengan wabak Covid-19, yang mana ia juga dirasakan merupakan perangsang untuk ekonomi berkembang semula.

“Tiada lagi pihak yang tertinggal atau merasakan diri mereka tersisih kerana semua peringkat rakyat telah disantuni melalui pakej perlindungan kali ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Adnan berharap Pelan Pemulihan Negara dapat bergerak secara seiring dengan pakej Pemulih supaya ia memberi impak yang diharapkan oleh semua pihak.

Menurutnya, situasi pandemik yang dihadapi ketika ini perlu dipulihkan segera supaya setiap pakej rangsangan memberi impak kepada pemulihan semula ekonomi dan kehidupan rakyat.

Dalam masa yang sama CUEPACS turut berharap semua rakyat boleh memberikan kerjasama menjayakan program vaksinasi.

Program tersebut merupakan langkah terakhir untuk memastikan negara dapat keluar dari kemelut pandemik ketika ini.

“Kejayaan program ini sudah tentu menjadi pemangkin kepada kejayaan pakej rangsangan ekonomi dan bantuan kewangan yang dilaksanakan kerajaan sepanjang pandemik ini berlangsung.

“Jika kita terus bergelut dengan pandemik ini dalam jangka yang panjang, sudah tentu segala usaha dan pakej bantuan yang diberikan kerajaan selama ini hanya seperti mencurah air ke dalam daun keladi.

“Terus kekal menjaga SOP kendiri bagi memutuskan rantaian jangkitan kerana ia merupakan satu-satunya ‘vaksin’ paling berkesan,” kata Adnan.

Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi menyaksikan semua lapisan rakyat yang kini dibelengu oleh kesan pandemik Covid-19 mendapat bantuan terus daripada kerajaan.

Pakej menyeluruh itu juga memastikan bantuan tunai kepada rakyat diberikan sehingga Disember ini.-SM

 

 

(Visited 233 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button