Luar Negara

Kembalikan jati diri, Itali haramkan penggunaan bahasa Inggeris

Mana-mana rakyat Itali yang menggunakan bahasa Inggeris atau bahasa asing ketika berurusan dengan pihak kerajaan negara itu bakal berhadapan denda sehingga sebanyak 100,000 Euro (RM480,000) di bawah pentadbiran Perdana Menteri Giorgia Meloni.

Undang-undang baharu itu diperkenalkan seorang ahli majlis perundangan negara Fabio Rampelli dan dipersetujui Perdana Menteri.

Portal berita antarabangsa CNN melaporkan, walaupun undang-undang berkenaan dikenakan terhadap semua bahasa asing, ia ditujukan khas kepada ‘Anglomania’ atau penggunaan perkataan bahasa Inggeris yang dilihat merendahkan martabat bahasa Itali.

Keadaan ini menjadi lebih buruk kerana United Kingdom (UK) tidak lagi sebahagian daripada Kesatuan Eropah (EU).

Rang Undang-Undang berkenaan yang akan dibentangkan di Parlimen, memperuntukkan sesiapa sahaja yang akan berkhidmat sebagai pegawai kerajaan perlu “menulis dan memiliki pengetahuan serta menguasai bahasa Itali”.

Peruntukan undang-undang juga melarang penggunaan bahasa Inggeris dalam mana-mana dokumen rasmi kerajaan termasuk penggunaan ‘akronim dan nama” sesuatu jawatan yang dipegang di semua syarikat yang beroperasi di seluruh negara itu.

Dalam masa sama, penguatkuasaan undang-undang itu kelak juga menetapkan syarikat-syarikat (entiti) asing perlu memastikan semua peraturan dalaman dan kontrak pekerjaan juga diterbitkan dalam versi bahasa Itali, menurut draf undang-undang berkenaan yang dilihat CNN.

“Ini bukan lagi soal fesyen kerana fesyen berubah, tetapi Anglomania telah memberikan kesan pada masyarakat secara keseluruhan,” tegas draf rang undang-undang itu lagi.

Artikel pertama peraturan baharu itu kelak turut menetapkan mana-mana pejabat yang berurusan dengan bukan orang tempatan – individu yang bercakap dalam bahasa asing, harus menjadikan bahasa Itali sebagai bahasa utama.

Di bawah undang-undang baharu yang dicadangkan itu juga, Kementerian Kebudayaan akan menubuhkan jawatankuasa yang peranannnya adalah untuk ‘memperbetulkan penggunaan bahasa serta sebutan Itali di semua sekolah, media, sektor perniagaan dan pengiklanan.

(Visited 46 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button