Nasional

Kanak-kanak perempuan empat tahun melecur disambar bunga api

SEORANG kanak-kanak perempuan berusia empat tahun melecur sebahagian anggota badannya dipercayai disambar api ketika bermain bunga api di hadapan rumahnya di Kampung Senara, Kubur Panjang, Pendang.

Berita Harian melaporkan, kejadian dipercayai berlaku pada pukul 10.30 malam kelmarin menyebabkan mangsa, Nur Zatil Hidayah Mohd Tarmizi melecur hampir 46% pada sebahagian badannya.

GAMBAR HIASAN – Anak-anak yang bermain bunga api, apatah lagi yang berusia empat tahun, perlu diawasi oleh orang dewasa bagi mengelakkan kecelakaan.

Ketua Polis Pendang, DSP Arriz Sham Hamezah mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian dan pihaknya menerima laporan itu daripada hospital pada pukul 2.45 pagi semalam.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa serta dua abangnya berusia tujuh dan 10 tahun bermain bunga api di hadapan rumah mereka.

“Ketika itu, ibu bapa mangsa berada dalam rumah dan dikatakan sedang menonton televisyen.

“Namun secara tiba-tiba suami isteri itu terdengar jeritan anak mereka dan berlari keluar sebelum mendapati dua anak lelaki mereka sedang cuba memadam api yang membakar tubuh mangsa,” katanya.

Arriz Sham berkata, bapa mangsa kemudian mengambil sebaldi air lalu menjirus pada bahagian badan anaknya itu sebelum terus membawa mangsa ke Hospital Pendang.

Beliau berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berikutan bapa mangsa mendakwa anak perempuannya terbakar selepas disambar api pelita minyak tanah ketika ingin menyalakan bunga api.

“Namun kejadian sebenar hanya akan diketahui selepas kita mengambil keterangan dua abang mangsa kerana buat masa ini mereka masih trauma dengan insiden yang berlaku.

“Pihak hospital setakat ini belum memaklumkan laporan keputusan punca kecederaan sebenar mangsa sama ada disebabkan minyak pelita atau mercun,” katanya.

Arriz Sham berkata, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar untuk rawatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 iaitu ibu bapa atau penjaga mendedahkan kanak-kanak kepada bahaya. – SM

BACA Cubaan seludup lebih 10 tan mercun, bunga api di sebalik muatan sabut kelapa tumpas

BACA KDN benarkan 45 item bunga api dan mercun diimport, simpan dan niaga

(Visited 128 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button