Ekonomi

Lotus’s lancar Kempen Beli Barangan Malaysia

LOTUS’S Stores (Malaysia) Sdn. Bhd. melancarkan Kempen Beli Barangan Malaysia dengan menunjukkan komitmen yang tinggi selaku rakan kerjasama strategik selama tiga tahun berturut-turut sejak tahun 2019 hinggalah pada tahun ini.

Penyertaan Lotus’s Stores sebagai antara pemain industri peruncitan terbesar negara adalah amat penting dan dialu-alukan serta diharap kerjasama dan sokongan seperti ini akan berterusan pada masa akan datang.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) merupakan satu inisiatif yang telah diperkenalkan oleh kerajaan dan dilaksanakan oleh KPDNHEP.

Beliau berkata, kejayaan kempen KBBM ini juga datang daripada para usahawan besar dan kecil yang mengambil peluang untuk mempromosikan serta menguar-uarkan kempen ini kepada orang ramai secara meluas.

“Sokongan usahawan tempatan kepada pihak Lotus’s Stores membantu memulihkan ekonomi para peniaga pasca pandemik ini dan secara tidak langsung merangsang ekonomi negara melalui KBBM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga berkata, kempen KBBM ini bertujuan memperkukuhkan perbelanjaan domestik dengan menggalakkan pengguna di Malaysia membeli barangan tempatan selain daripada menggalakkan rakyat Malaysia untuk berbelanja.

Justeru, katanya, program KBBM ini juga bertujuan mempromosikan produk-produk tempatan dan merancakkan ekonomi domestik.

Katanya lagi, program ini juga merupakan salah satu inisiatif kerajaan bagi membantu syarikat-syarikat dan usahawan-usahawan tempatan dalam memasarkan produk-produk mereka kepada orang ramai.

Oleh yang demikian, jelas beliau, enganjuran KBBM ini merupakan satu pendekatan yang terbaik dan berkesan bagi mewujudkan lebih banyak permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan keluaran tempatan.

“Kempen ini bermatlamat menggalakkan para pengguna di negara ini mengutamakan pembelian barangan buatan Malaysia.

“Sekaligus meningkatkan semangat patriotisme di kalangan rakyat dalam membantu pengusaha tempatan mempromosikan pelbagai bentuk barangan, produk dan perkhidmatan buatan tempatan,” katanya sambil menambah, itu akan merancakkan kembali sektor peruncitan dan mengembalikan permintaan pasaran dalam negara khususnya selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan pandemik Covid-19.

Tahun 2019 dan 2020 memperlihatkan penyertaan Lotus’s dalam Kempen Beli Barangan Malaysia fokus kepada sokongan industri kecil dan sederhana (IKS) terutamanya bagi golongan Bumiputera.

Manakala pada tahun ini, tumpuan Lotus’s Stores telah diperluaskan lagi dengan merangkumi kesemua barangan keluaran tempatan.

Promosi juga turut dijalankan melalui pelbagai medium seperti media sosial, media cetak, pengiklanan dan jualan-jualan yang melibatkan usahawan-usahawan kecil dan sederhana.

“Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada 17 pembekal baharu yang telah dilantik oleh Lotus’s Stores dan diharapkan usaha ini dapat diteruskan dengan memberikan peluang kepada lebih ramai lagi pembekal terutama daripada usahawan-usahawan tempatan.

“Bukan hanya sekadar membuka peluang dan ruang, malah diharap Lotus’s Stores juga dapat membimbing para pembekal ini terutamanya pembekal dan usahawan tempatan untuk terus berjaya dalam mengembangkan pasaran sekaligus dapat mencapai nilai jualan tertinggi,” kata beliau.

Usaha yang dilakukan oleh Lotus’s Stores ini merupakan satu contoh yang perlu diberi pujian serta galakan.

Lotus’s Stores sentiasa aktif dalam merancang serta melaksanakan inisiatif bagi menyokong pelan Kerajaan dalam meningkatkan jualan sektor peruncitan, kata Hasnol.

“Ia juga dilihat sangat signifikan dengan matlamat KBBM. Malahan apa yang dilaksanakan ini sebenarnya memberikan harapan kepada peniaga tempatan untuk terus berusaha melonjakkan perniagaan mereka seterusnya menjana pendapatan yang lebih baik.

“Melalui usaha ini, ia diharap dapat menjadi pemangkin dan pembakar semangat kepada usahawan-usahawan lain untuk berusaha dengan lebih gigih dalam memasarkan produk-produk keluaran mereka. – SM

(Visited 224 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button