Politik

PRN Johor: Muhyiddin, PN senyap tak berkempen bukan bererti sepi

BARU masuk hari ketiga selepas hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan kalau tidak nampak berkempen sekalipun, bukan bermakna senyap atau sunyi sepi.

Masing-masing parti yang bertanding ada strategi dan percaturan tersendiri untuk berkempen termasuk Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tidak menjadi kudis pun bagi Muhyiddin atau PN apabila Datuk Seri Najib Tun Razak masuk ke kawasan Pagoh untuk berkempen bagi pihak Barisan Nasional (BN) semalam.

Turun padang berkempen bukan sebagai Presiden UMNO pun Najib dan Muhyiddin pula lebih bijak dengan memilih untuk tidak mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir pada PRN Johor ini.

Muhyiddin tidak takut dengan bayang-bayang Najib dan hakikat itu perlulah diterima oleh pemerhati kempen PRN Johor di luar sana.

Najib turun ke Pagoh juga diperhatikan KKM sama ada langgar SOP ataupun tidak dan kalau berlaku pelanggaran SOP, saman atau kompaun akan menyusul.

Muhyiddin berada di Pagoh dan Muar untuk menunjukkan sokongannya kepada calon PN dan menghadiri beberapa majlis.

Bergambar, berswafoto dan membuat hantaran di Facebook bukan boleh diterjemahkan sebagai kemenangan calon BN. Tunggu hari mengundi pada 12 Mac dan untuk rekod, undi awal PRN Johor, 8 Mac.

Membangkitkan alunan gelombang dacing sedang giat diusahakan oleh Bossku termasuk menyantuni para pengundi di Perling terutamanya kaum Cina yang mana dikatakan sebelum ini, undi mereka pergi kepada DAP, bukan MCA.

Jika menggunakan sentiment tokoh mana lebih popular, itu bukan penanda aras yang bijak kerana Bangsa Johor sendiri, jika ditanya, mereka mahukan calon-calon yang boleh buat kerja untuk rakyat, demi rakyat.

Seorang rakan mengakui, tidak tahu siapakah yang akan diundinya nanti kerana “balik Muo (Muar) nak mengundi, keliru dah nak pilih calon mana.”

Dalam keadaan sekarang rakyat khususnya Bangsa Johor sedang cuba bersikap realistik. Rata-rata Bangsa Johor juga mahukan kerajaan negeri yang bakal dibentuk kelak, memberi kestabilan politik, ekonomi yang bercambah, mencipta peluang-peluang pekerjaan yang lebih besar untuk anak negeri ini.

Selamat berkempen kepada semua calon PRN Johor, patuhi SOP! – SM

(Visited 280 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button