fbpx
Politik

Kalaupun tak suka, takkan sampai cerita roti john pun mahu dikecam

SAYA bukan peminat setia atau tegar Muhamad Sabu atau Mat Sabu, juga bukan penyokong tegar kerajaan hari ini.

Tetapi serangan yang dibuat kepada pihak kerajaan kadangkala merimaskan saya sehingga benda sekecil zarahpun mahu diperbesarkan dengan tujuan untuk memalukan individu berkenaan dan pada masa menjejaskan reputasi kerajaan hari ini.

Kita faham menteri-menteri kerajaan terdahulu antaranya ramai yang hebat dan tidak kurang juga sangat lemah prestasinya.

Kadangkala seseorang itu dihormati bukan kerana kehebatannya, tetapi kerana perlakuannya tidak menyakiti dan tidak menyebabkan majoriti rakyat menjeruk hati.


Agak sukar saya untuk menerima kritikan yang dilemparkan oleh Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein terhadap menteri hari ini hanya kerana cerita roti john.

Walaupun beliau tidak menyebut Mat Sabu, tetapi jelas sekali ia menyindir pemimpin berkenaan.

Sebagai individu yang puluhan tahun menjadi wartawan saya menyimpan seribu satu cerita buruk tentang setiap menteri di dalam kotak minda saya, tanpa menulisnya di mana-mana kerana pada pandangan saya ia tidak memberi manfaat kepada negara.

Berikut tulisan Hishammudin saya kutip untuk penilaian pembaca:

Menteri Pakatan Harapan mana yang buat lawak tak kena tempat ni? Hari tu kecoh Menteri PH cerita kisah gajah bertembung dalam satu persidangan antarabangsa. Kali ni kisah roti John pula🤦‍♂️ Saya harap cerita ini palsu. Tetapi kalau sahih, ia amat mendukacitakan, apatah lagi ia dilakukan ketika mesyuarat yang membincangkan perihal keselamatan dunia. Satu sahaja nasihat saya kepada mana-mana Menteri PH, kalau rasa tak mampu banggakan negara, janganlah pula melakukan tindakan yang berupaya mencalarkan maruah Malaysia di mata dunia!

Beliau mengulas satu tulisan yang disiarkan oleh akhbar The Star yang memang diketahui umum milikannya oleh MCA.

Takkanlah hanya kerana jenaka berkaitan roti john sahaja akan menjejaskan hubungan diplomatik dengan sesebuah negara.

Pegawai berkenaan juga nampaknya agak melampau apabila menunjukkan rasa tidak hormat dan mengecam pemimpin negara lain.

Sampai bila kita mahu mempersendakan pemimpin negara sendiri, hanya kerana dendam kita kehilangan kerajaan?

Kita sepatutnya bercermin melihat diri sendiri mengapa majoriti rakyat menolak kita dan memilih kerajaan baharu walaupun belum pasti kemampuan mereka.

Sudah semestinya ada sebabnya hingga rakyat hilang kesabaran hingga ke tahap tersebut dan janganlah terus hidup dalam penafian dengan membawa naratif kekalahan yang lalu adalah berpunca daripada fitnah.

Pepatah mengatakan Tak Sungguh Tak Melata, Tak Sungguh Orang Tak Kata.

Show More

Related Articles

Back to top button