Rencah Hidup

Air tebu kuning jalanan di Perlis tetap ‘champion’

AIR TEBU antara minuman jalanan yang sangat popular di Perlis sejak turun-temurun lagi. Kalau hari cuacanya sedang panaih lit-lit (kata orang utara) dapat seteguk air tebu sejuk, hilang rasa dahaga!

“AIR TEBUNG KUNING JALAN SANTAN” sentiasa laris.

Sekalipun air kopi dan teh yang diviralkan di media sosial cuba mengatasi kedudukan air tebu jalanan namun di Perlis, permintaan untuk air tebu tetap tidak tergugat. Kata orang, tetap ‘champion’.

Bagi peniaga “Air Tebu Kuning Jalan Santan”, Mohd Azman Abd. Wahab, 50, mengakui air tebu tetap diminati oleh rakyat Perlis tidak kira golongan tua atau muda.

“Boleh dikatakan jualan air tebu di hadapan rumah saya, Alhamdulillah, laris setiap hari,” katanya kepada wartawan SUARA MERDEKA.

Yang menarik, Mohd. Azman mengusahakan sendiri tanaman pokok tebu.

“Saya tanam pokok tebu ini dalam kawasan rumah sendiri dan satu lagi tempat secara berperingkat-peringkat untuk mengelak dari terputus bekalan,” katanya yang dibantu isteri, Haniza Hamzah, 42.

Mohd. Azman berkata, sehingga kini dia menanam 300 lubang pokok tebu kuning yang memakan masa selama sembilan bulan sebelum boleh dituai.

MOHD AZMAN ABD WAHAB bersama isterinya, Haniza Hamzah di gerai air tebu yang di mana juga bersebelahan tanam tebu yang diusahakan di Kampung Sempering, Jalan Santan, Arau, Perlis

Katanya lagi, beliau memilih menanam tebu kuning kerana ia tidak terlalu manis dan mengeluarkan air dengan lebih banyak apabila diperah menggunakan mesin.

“Kebanyakan peniaga air tebu menggunakan tebu hitam berbanding tebu kuning kerana kesukaran untuk mendapatkan bekalan,” jelas beliau.

MOHD AZMAN ABD. WAHAB

Bercerita lebih lanjut tentang keistimewaan tebung kuning, Mohd. Azman berkata, benih tebu kuning ini diwarisi daripada ayahnya yang mengusahakan tanaman tebu kuning sejak beliau remaja.

“Memang kami mengusahakan tanaman tebu kuning untuk dijual sebagai kerja sampingan ketika masih bekerja kilang,” imbas beliau.

Bagaimanpun beliau mula terfikir untuk berniaga air tebu selepas jualan tebu terjejas apabila kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Berikutan itu, pada September 2020 Mohd. Azman nekad menjual air tebu jalanan.

Kini Mohd. Azman menganggap usahanya itu tidak sia-sia kerana setiap hari sebanyak 50 kilogram (kg) tebu digunakan untuk dijual airnya.

Gerai milik Mohd. Azman menjual air tebu ais dengan harga RM2 manakala tanpa ais, RM3.

Kata Mohd. Azman, gerainya dibuka mulai pukul 11 pagi sehingga air tebu habis dan ditutup pada Khamis dan Jumaat. – SM

(Visited 949 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button