Politik

Panglima Perang UMNO yakin Najib akan kembali jadi PM

“Letak gambar para pemimpin UMNO, siapa yang boleh lawan Anwar, siapa yang boleh lawan Mahathir?” Soal panglima perang UMNO, Datuk Lokman Noor Adam.

Menurut Lokman, hanya Datuk Seri Najib Tun Razak yang mampu melawan para pemimpin tersebut.

Oleh itu beliau berharap para pemimpin Barisan Nasional (BN) dan UMNO menerima dengan fikiran dan hati terbuka demi kelangsungan parti berkenaan.

Kata Lokman, Najib seorang pemimpin yang hebat tetapi menjadi mangsa fitnah oleh pembangkang, tetapi kini rakyat semakin menyedari apa yang dilakukan oleh pemimpin itu adalah betul dan semata-mata untuk rakyat.

Sebagai contoh, kata beliau, Najib melaksanakan GST semata-mata untuk memastikan taikun-taikun tidak dapat lari daripada membayar cukai dan kutipan hasil itu disalurkan kembali kepada rakyat dalam bentuk bantuan.

Bahkan, kata beliau, jika kerajaan sebelum ini tidak memansuhkan GST negara mempunyai jumlah duit yang besar untuk memulihkan ekonomi dampak daripada pandemik Covid-19.

Lokman berkata demikian dalam wawancara bersama Suara Merdeka bertajuk: Duit helikopter selamatkan negara?

Beliau juga yakin prestasi UMNO akan lebih baik jika bertanding bersendirian pada pilihan raya akan datang berbanding jika bersama Perikatan Nasional.

Di dalam perikatan itu, katanya, UMNO perlu memberi laluan kepada Bersatu dan Pas walaupun ia merupakan kerusi kuat parti berkenaan.

Ini secara langsung akan mengecilkan lagi peluang untuk UMNO menambah jumlah kerusi yang dimenanginya.

Katanya, setelah memenangi jumlah kerusi yang besar, walaupun tidak mampu membentuk kerajaan UMNO boleh berunding dengan parti-parti lain bagi membentuk pakatan baharu dan kembali berkuasa.

Bahkan beliau mendakwa jika Najib tidak didesak oleh pemimpin UMNO sendiri supaya meletakkan jawatan segera selepas tewas pada pilihan raya lalu, parti itu masih boleh berbincang dengan PKR bagi membentuk pakatan baharu.

Bagaimanapun, ujar beliau, Najib terpaksa akur selepas diugut oleh beberapa pemimpin UMNO.

Untuk mengikuti wawancara penuh boleh diikuti di Facebook Suara Merdeka

 

(Visited 405 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button