Ekonomi

Johor optimis Iskandar Malaysia rancakkan ekonomi negara

Kerajaan negeri Johor optimis Iskandar Malaysia akan merancakkan lagi ekonomi negeri itu biarpun berdepan dengan krisis wabak COVID-19.

Menteri Besarnya, Datuk Ir Hasni Mohammad sewaktu merasmikan ulang tahun penubuhan Iskandar Malaysia berkata wilayah ini mampu menjadi gerbang utama Pembangunan Segitiga Sijo-Kepri seperti yang telah diumumkan oleh kerajaan negeri dalam Ikhtiar Makmur Johor tahun lalu.

“Pagi ini saya berpeluang merasmikan ulangtahun penubuhan Iskandar Malaysia yang ke-15 secara maya. Satu pengalaman yang cukup menarik selari dengan transformasi perhubungan digital dalam mendepani cabaran pandemik COVID-19.

“Bersempena dengan pelancaran ini juga, Iskandar Malaysia telah memperkenalkan Inisiatif Pemulihan Mapan Sosio Ekonomi di Iskandar Malaysia atau SECURE @ IskandarMalaysia,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Tambah beliau, untuk tempoh 15 tahun tersebut Iskandar Malaysia telah berjaya mencorakkan pembangunan koridor ekonomi negeri.


“Tahniah sekali lagi kepada semua warga kerja Iskandar Malaysia dan semoga kerjasama erat dengan kerajaan negeri Johor ini dapat merancakkan lagi usaha pemulihan ekonomi untuk kesejahteraan rakyat pasca COVID-19.

“Satu masa yang cukup panjang dalam membuktikan kepentingan negeri Johor sebagai gerbang pelaburan utama negara.

“Keunikan lokasi negeri Johor yang berhadapan dengan Singapura merupakan cabaran yang unik bagi Iskandar Malaysia dalam memanifestasikan pembangunan inklusif yang berpaksikan kepada kesejahteraan rakyat,” ujarnya.

(Visited 97 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button