fbpx
Nasional

Jayakan kempen hindari penggunaan plastik – Raja Muda Perlis

Rakyat disarankan agar menjayakan ‘Kempen Hindari Penggunaan Plastik Sekali Guna (Single Use Plastics)’ di negeri Perlis dengan penuh sikap bertanggungjawab dan berdisplin.

Perkara paling mudah boleh dilakukan adalah dengan tidak menggunakan penyedut minuman dan membawa beg kitar semula semasa membeli belah. Ini adalah kerana menurut kajian, penggunaan satu beg yang boleh diguna semula bagi tempoh setahun boleh menggantikan 125 beg plastik atau 52 beg kertas yang boleh digunakan sekali saja.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menghadiri ‘Program Hijrah Minda MAIPs Bilangan Ke 25 bagi tahun 2020’ yang diadakan di Masjid Al-Hasyimi, Kg. Long Boh, Simpang Empat.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Ketua Pegawai Ekaekutif MAIPs Hj Mohd Nazim Mohd Noor dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri (JAIPs), Dr Hazman Hassan.


Berangkat sama ialah anakanda baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Turut hadir, Ketua Hakim Syarie Negeri Hj Ibrahim Deris dan Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Azman Shah Ismail.

Terdahulu diadakan ‘Ceramah Hijrah Minda’ oleh Jabatan Alam Sekitar Negeri yang disampaikan sendiri oleh Azman, beliau memaklumkan bahawa kerajaan telah mengambil Inisiatif bagi menghentikan penggunaan plastik sekali guna di Malaysia menjelang tahun 2030.

Menurut beliau, kempen ini akan diperkenalkan di semua organisasi kerajaan sama ada di peringkat persekutuan, mahu pun di peringkat negeri termasuklah syarikat berkaitan kerajaan.

‘Tujuan kempen ‘Rakyat Perlis Hidup Prihatin Alam Sekitar’ ini dilaksanakan di negeri ini adalah untuk menggalakkan bermula daripada kakitangan kerajaan supaya mengurangkan penggunaan plastik sekali guna melalui beberapa kaedah seperti menggantikan penggunaan beg plastik dengan beg yang boleh digunakan berulang kali seperti woven bag, membawa botol air sendiri, menghidangkan air dalam jag dan gelas, membawa bekas sendiri untuk membeli makanan dan sebagainya’ jelas Azman.

10 asnaf terpilih dari kalangan anak kariah masjid berkenaan menerima sumbangan agihan zakat MAIPs daripada baginda. Turut diadakan ialah promosi memperkenalkan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) dan pasukan sukarela Rejimen 504 Askar Wataniah (R504AW) Tentera Darat Malaysia, selain majlis sembah memperkenalkan beberapa orang para pegawai JAIPs yang baru memulakan perlhidmatan di Perlis kepada baginda.

Show More

Related Articles

Back to top button