fbpx
Rencana

Jatuh hukum walau tiada mayat

Oleh ROOS NIZA MOHD SHARIF

SEDIKIT masa lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam telah menjatuhkan hukuman mati mengikut Seksyen 302 Kanun keseksaan keatas seorang wanita dan dua rakannya selepas didapati bersalah atas pertuduhan membunuh seorang lelaki tiga tahun lalu walaupun mayat mangsa tidak ditemui sehingga hukuman dijatuhkan.

Mengikut pertuduhan, Siti Nor Asiah Abdul Wahab, 28 tahun dan Mohd Zulhiami Md Darus, 33, tahun didakwa bersubahat bersama Muhammad Rahmat Nazarudin, 25, membunuh Mohammad Fairul Haqiemie Mokhtar, 24, di antara pukul 12.30 tengah malam hingga 1 pagi, pada 29 Ogos 2016.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah pangsapuri di Jalan Dato Yusof Shahbudin 3 Taman Sentosa, Klang.

Muhammad Rahmat pula didakwa membunuh Mohammad Fairul Haqiemie pada 4 pagi di lokasi dan hari yang sama.

Secara umumnya, sekiranya tiada mayat ditemui dalam kes pembunuhan maka agak sukar membuktikan pembunuh tidak bersalah.


Ini mendorong pembunuh membuang ataupun melupuskan mayat dalam apa cara sekalipun supaya tiada bukti yang mensabitkannya boleh ditemui.

Beberapa kes pembunuhan di Malaysia sebelum ini telah menyaksikan pembunuh mengerat mangsa dalam bebarapa bahagian dan menaburkan sisa-sisa mayat di merata tempat untuk mengelakkan tertangkap.

Ada juga yang membuang mayat jauh ke dalam jurang supaya mayat tidak dijumpai. Ada yang
membakar sehingga jadi abu dan terdapat juga yang menyembunyikan mayat menggunakan simen dan dalam peti sejuk beku.

Di luar negara terdapat kes pembunuh mencairkan mayat mangsanya di dalam tong berisi asid semata-mata hendak menghapuskan bukti.

Namun begitu, pendakwaan tetap boleh dijalankan berdasarkan beberapa pembuktian lain. Walaupun pelbagai kaedah digunakan untuk melupuskan mayat, pembunuh masih boleh disabitkan bersalah atas tuduhan membunuh walaupun mayat tidak ditemui.

Menurut seksyen 5 Akta Keterangan 1950: “Keterangan boleh diberikan dalam mana-mana guaman atau prosiding mengenai kewujudan atau ketidakwujudan tiap-tiap fakta persoalan dan mengenai apa-apa fakta lain yang ditetapkan kemudian daripada ini sebagai berkaitan, dan tidak mengenai apaapa fakta lain.”

Seksyen ini menerangkan bahawa terdapat dua jenis fakta yang boleh digunakan di mahkamah, iaitu ‘fakta persoalan’ (fact in issue) dan ‘fakta berkaitan’ (relevant fact).

Fakta persoalan adalah bukti langsung yang menunjukkan bahawa tertuduh melakukan kesalahan, di mana hakim dalam kes ini tidak perlu membuat sebarang kesimpulan dan andaian berasaskan fakta ini kerana faktanya amat jelas.

Ini berbeza dengan fakta berkaitan, di mana ia adalah bukti yang tidak menunjukkan secara langsung yang tertuduh melakukan kesalahan, namun ia mampu menunjukkan kaitan, maka pembuktian ini perlu meniti persoalan undang-undang dengan lebih teliti.

Fakta berkaitan ini boleh menyokong membuktikan fakta persoalan dalam kes yang terlibat.

Merujuk kes pembunuhan Mohammad Fairul Haqiemie, seramai 12 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan dan 41 eksibit dikemukakan.

Saksi ketujuh memberitahu bahawa dia nampak si mati dalam keadaan terbaring, rebah menggelupur dan juga
nampak darah di lantai serta dinding akibat pukulan oleh Muhammad Rahmat.

Saksi juga memaklumkan bahawa sebelum si mati pengsan, saksi nampak Siti Nor Asiah dan Muhammad Rahmat berbincang dan Siti Nor Asiah mencadangkan mayat dibungkus dengan tilam.

Muhammad Rahmat memberitahu saksi, dia memukul si mati atas upah duit yang ditawarkan Siti Nor Asiah.

Keterangan dari saksi ketujuh adalah fakta persoalan kerana keterangan itu secara langsung memaklumkan hakim akan apa yang telah berlaku.

Mahkamah memutuskan bahawa pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Menurut mahkamah pembelaan ketiga-tiga tertuduh menerusi keterangan bersumpah dalam kandang saksi juga berbentuk rekaan dan tidak munasabah.

Pihak pendakwaan dalam satu kes bunuh di Singapura telah membina kes ke atas tertuduh, Sunny Ang, menggunakan ‘fakta berkaitan’ (relevant fact) yang bila dilihat secara menyeluruh, menyakinkan pihak juri sehingga mereka mendapati Sunny Ang bersalah selepas sesi perundingan yang berlangsung selama dua jam, di mana selepas itu dia dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.

Kes ini agak luar biasa di Singapura pada ketika itu kerana ia merupakan kali pertama di mana kes bunuh dibicarakan tanpa mayat mangsa ditemui.

Tertuduh Sunny Ang didapati bersalah dan dihukum gantung walaupun mayat mangsa tidak ditemui dan tiada bukti sahih (direct evidence) yang lain.

Ini kerana secara tidak langsung, Sunny Ang meninggalkan banyak bukti yang dapat meyakinkan pihak juri.

Di antaranya ialah pembelian polisi insurans yang tinggi nilainya atas nama mangsa, meletakkan nama ahli waris yang boleh dipertikaikan, bukti-bukti berkaitan yang lain dan keterangan saksi-saksi.

Di Malaysia kita dikejutkan dengan kes tragis pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati dan tiga orang rakannya.

Kes pembunuhan ini juga dijalankan di mahkahmah tanpa mayat mangsa. Peguam N. Pathmanabhan telah membakar mayat-mayat tersebut untuk mengelakkan mayat daripada dikesan.

Namun begitu, berdasarkan “circumstantial evidence” serta lain-lain ‘fakta berkaitan’ (relevant fact), N. Pathmanabhan didakwa dan didapati bersalah atas tuduhan membunuh Datuk Sosilawati dan tiga rakannya.

Ternyata undang-undang di negara kita mempunyai banyak persamaan dengan undang-
undang di United Kingdom dan negara-negara Komanwel lain.

Iktibarnya ialah pesalah dalam kes pembunuhan tidak dapat lari dari perbuatan jenyahnya semata-mata kerana mayat tidak ditemui. – SM

Roos Niza Mohd Shariff adalah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Undang-undang, Universiti Utara Malaysia,  Sintok, Kedah

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button