Nasional

Penambahbaikan undang-undang berhubung kesalahan menghendap (stalking) di Malaysia

Rang Undang-Undang (RUU) Kanun Keseksaan (Pindaan) 2022 dan RUU Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) (No. 2) 2022 berhubung kesalahan menghendap (stalking) telah dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan
Rakyat pada 4 Ogos 2022, bacaan kali kedua dan ketiga pada 3 Oktober 2022 dan telah diluluskan setelah mendapat undi lebih suara daripada seramai 192 Ahli Dewan Rakyat yang hadir.

Namun demikian, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh berkata,  berikutan pembubaran Parlimen pada 10 Oktober 2022, RUU ini tidak dapat dibentangkan di Dewan Negara pada sidang Parlimen yang sama dan perlu dibentang semula di Dewan
Rakyat pada sidang yang akan datang.

“Kerajaan Perpaduan tetap komited dalam usaha mewujudkan undang-undang berhubung kesalahan menghendap.

“Sejak bulan Januari 2023, saya telah mengadakan pelbagai sesi libat urus bersama pelbagai pihak  berkepentingan seperti Jabatan Peguam Negara, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri, Women’s Aid Organisation dan juga Badan Peguam Malaysia bagi meneliti semula peruntukkan-peruntukkan kedua-dua RUU tersebut dan mendapatkan pandangan pihak berkepentingan.

“Hasil daripada kesemua sesi libat urus tersebut, saya telah mencadangkan penambahbaikan kepada draf RUU tersebut bagi memastikan penekanan diberikan kepada kesalahan ini secara holistik dan merangkumi semua  aspek perundangan.

“Satu Memorandum Jemaah Menteri berhubung RUU ini akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri oleh YB Dato’ Sri Azalina Othman Said, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) dalam masa yang terdekat. Tertakluk kepada kelulusan Jemaah Menteri, kedua-dua RUU berkenaan akan dibentang semula di Dewan Rakyat pada sidang Parlimen yang akan datang ini,” katanya dalam kenyataan. – SM

(Visited 167 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button