fbpx
Nasional

Perintah Darurat berdasarkan gazet undang-undang baharu

PERINTAH Darurat yang dipercayai akan dilaksanakan di negara ini adalah berdasarkan gazet undang-undang baharu dikatakan berkaitan dengan pandemik Koronavirus (Covid-19).

Ini bermakna perintah tersebut tidak akan sama seperti yang dilaksanakan kerajaan pada 1969 akibat tragedi rusuhan kaum berlaku pada 13 Mei tahun itu.

Malah pelaksanaan dan pendekatan mungkin berbeza berdasarkan situasi yang dihadapi negara.

Bagaimanapun, sekiranya akan dilaksanakan, kerajaan perlu menjelaskan kaedah pelaksanaan perintah darurat dan kawasan-kawasan yang terlibat.

“Kerajaan perlu menjelaskan bentuk darurat yang akan dilaksanakan adakah darurat politik, kesihatan ataupun ekonomi.


“Sekiranya darurat dilaksanakan, apa yang pasti ia mestilah sesuai dengan keadaan sekarang dan tidak boleh mengikut pelaksanaan pada tahun 1969 di seluruh negara dan 1978 di Kelantan.

“Maka, pelaksanaan darurat pada waktu ini mestilah berdasarkan undang-udang baharu yang digazet oleh kerajaan.”

Demikian ringkas jangkaan awal diberikan pemerhati politik dan isu semasa, Mohd. Amirul Akhbar Mohd. Zulkifli ketika dihubungi Suara Merdeka hari ini.

Beliau berkata demikian susulan berita pelaksanaan Perintah Darurat bertiup kencang berikutan Mesyuarat Khas Kabinet di Bangunan Putra Perdana, Putrajaya pagi tadi.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempengerusikan mesyuarat itu bertindak menghadap Yang di-Pertuan Agong, As Sultan Abdullah Riayatuddin Al Mustafa Billah Shah di Pekan, Pahang pada pukul 5 petang tadi.

Dalam pada itu, Mohd Amirul Akhbar yang juga Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu menyatakan mustahil untuk melaksanakan darurat di seluruh negara.

DUN SABAH
MOHD. AMIRUL AKHBAR

Menurutnya, jika darurat yang akan dilaksanakan di seluruh negara adalah tidak patut kerana kes Covid-19 hanya meningkat tinggi di Selangor termasuk Lembah Klang, di Labuan dan Sabah.

“Itu persoalannya, jika hendak melaksanakan Perintah Darurat di Selangor dan Sabah, mesti ada pertemuan Perdana Menteri dengan Menteri Besar dan Ketua Menteri.

“Jika hendak melaksanakan Perintah Darurat di seluruh negara ia sememangnya menjejaskan ekonomi penduduk tempatan dan nasional.

“Ini kerana, pergerakan rakyat akan dihadkan termasuk waktu bekerja dan berniaga serta penutupan beberapa perniagaan tertentu.

“Apa-apapun kita tunggu sahajalah jika terdapat sebarang pengumuman yang akan dibuat oleh Perdana Menteri nanti.

“Setakat ini saya lihat Perintah Darurat macam confirm sebab undang-undang berkaitannya sudah digazetkan,” katanya. – SM

Show More

Mohamad Athir Ismail

Berpengalaman lapan tahun dalam bidang kewartawanan termasuk penerbitan majalah, surat khabar dan portal berita. Sebelum menyertai Suara Merdeka, beliau pernah berhidmat di pelbagai syarikat penerbitan. Berminat meneroka bidang kewartawanan untuk perniagaan.

Related Articles

Back to top button