fbpx
BeritaPolitik

Jangan biar rakyat terus jadi korban

MALAYSIA sekali lagi menjadi tumpuan dunia. Selepas isu sosial – kisah seorang lelaki berpakaian perempuan mengerjakan umrah, kini merebak kepada pergolakan politik dan ekonomi.

Kita sedar cabaran semasa adalah serangan COVID-19 yang secara tidak langsung menggugat perancangan menstabilkan semula ekonomi, namun, kesukaran itu ditambah pula dengan pergolakan politik yang tercetus secara tiba-tiba.

Keenganan berkompromi mungkin menyebabkan usaha-usaha memajukan negara yang sepatutnya diberi tumpuan gagal dilaksanakan segera.

Realitinya percaturan politik yang keterlaluan tidak langsung memberi kebaikan kepada rakyat.

Yang mencatur pastinya akan menggunakan segala muslihat dalam mengatur langkah. Tentu juga masing-masing akan sanggup melakukan apa sahaja untuk menang.


Sama ada diadakan pilihan raya umum atau tidak, siapa juga pemenangnya, yang menanggung beban kelak adalah rakyat.

Sedangkan ketika ini kehidupan rakyat terus tertekan – harga barang mahal, kadar pengangguran meningkat, pendapatan tidak setimpal, hal-hal kebajikan kurang diberi perhatian dan sebagainya.

Sehingga bila rakyat harus menjadi mangsa?

Mungkin benar, ada yang berkata, orang politik tidak pernah mempedulikan nasib rakyat. Mereka hanya ‘peduli’ menjelang waktu-waktu pilihan raya.

Jika ini situasinya, Malaysia semakin jauh ditinggalkan oleh negara-negara jiran tetangganya.

Sikap orang politik yang sukar berubah – gagal mengutamakan kepentingan rakyat dan negara berbanding diri sendiri, melenyapkan harapan.

Nilai-nilai murni – membangunkan sahsiah diri yang tinggi, nilai-nilai keinsanan, jati diri dan moral sebagai pendinding dalam mengejar kejayaan, sering kali diucap tetapi umpama ‘menanam tebu dibibir’ – cakap yang manis-manis malangnya diri sendiri tidak melakukannya.

Integriti dan akauntabiliti apatah lagi.

Jika tanggapan ini salah, apa yang dihadapi hari ini pasti tidak akan terjadi – tepuk dada tanyalah diri! – SM

Show More

Related Articles

Back to top button