Politik

Menginsafi `nyawa kedua’ buat UMNO

KOMENTAR

MENYAMBUT ulangtahun ke-74 UMNO hari ini 11 Mei 2020, parti itu tidak boleh alpa lagi.

Sudahpun diberi `nyawa kedua’ melalui Muafakat Nasional UMNO-Pas.

Sebelum menginjak bersama sebahagian besar dari Parti Bersatu serta Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk membentuk kerajaan Perikatan Nasional yang baru menjangkau dua bulan ini.

Menguasai politik hari ini sama seperti digariskan Sun Tzu, seorang ahli falsafah, jeneral dan strategis peperangan terkenal dari China. Kata Tzu dalam bukunya The Art Of War, “senjata paling ampuh dalam sebuah peperangan adalah strategi.”

Ikut prinsipnya, “Kenali diri anda, kenali musuh anda. Seribu perang, seribu kemenangan.”

Tetapi UMNO beringatlah! betapa faktor-faktor kejatuhan parti dominan sering kali disebabkan oleh ketamakan kuasa, amalan dasar kronisme, nepotisme dan menyalahgunakan kedudukan sebagai pemimpin.

Secara dasarnya, kebanyakan parti dominan kehilangan kuasa kerana wujudnya penentangan dari rakyat.

Kuasa rakyat dikategorikan senjata paling berkesan untuk menyingkirkan pemimpin autoritarian.

Hanya golongan pemimpin sahaja yang tidak menyedari atau mereka sengaja memperkecilkan akan kelebihan kuasa rakyat.

Kejatuhan parti dominan juga disebabkan oleh pembelotan ahli parti itu sendiri.

Walaupun nasib tidak menyebelahi UMNO dalam PRU-14, 9 Mei 2018, UMNO yang kembali bernafas `buat sementara’ ini melalui kerajaan Perikatan Nasional harus kembali segera mendepani cabaran.

Sebagai perbandingan dengan LDP di Jepun, terdapat banyak parti dominan di dunia ini telah kehilangan kuasa sebagai parti pemerintah.

Antaranya Kongres di India (1977), Nacionalista di Filipina (1986), Golkar di Indonesia (1998) dan Kuomintang (KMT) di Taiwan (2000).

Golkar misalnya, setelah memerintah Indonesia selama 32 tahun secara de facto, akhirnya parti pemerintah itu gagal meneruskan hegemoninya sebagai parti dominan. Kejatuhan Golkar sering kali dikaitkan dengan amalan rasuah, kronisme, nepotisme dan mentadbir negara secara authoritarian.

Kuomintang (KMT) juga gagal mengekalkan kehebatannya sebagai parti dominan apabila tewas dalam pilihan raya presiden 2000.

Terdapat empat faktor yang boleh menjelaskan kejatuhan KMT sebagai parti dominan. Pertama, wujudnya campur tangan kerajaan Amerika Syarikat ke atas sistem politik Taiwan dan berlakunya tsunami demokrasi di penghujung 1980-an.

Kedua, berlakunya perubahan kepimpinan parti pada 1998 berikutan kematian Chiang Ching Kuo.

Ketiga, berlakunya persengketaan antara puak politik arus perdana dengan puak politik yang menentang arus.

Keempat, berlakunya penurunan sokongan terhadap KMT dalam pilihan raya umum. Justeru itu, salah satu faktor utama yang menyebabkan kejatuhan KMT ialah terjadinya perbalahan antara puak-puak politik.

Senario sedemikian juga berlaku kepada LDP sehingga mengakibatkan LDP kehilangan kuasa memerintah.

Walau sehebat mana pun sesebuah kerajaan, pilihan raya adalah penentu nyawanya sama ada berakhir atau kelangsungan untuk terus memimpin dan memerintah.

Kerajaan yang kuat membawa maksud kepelbagaian variasi dan faktor ekonomi sangat penting dalam mendukung kekuatan politik. Kekuatan governance sangat penting di dalam menguruskan pilihan raya khususnya kelancaran perjalanan pilihan raya, penguasaan media khususnya media baharu.

Isu pilihan raya negara ini bagaimanapun lebih kepada soal integriti. Bukan soal BN yang diketuai UMNO tidak menjalankan tanggungjawab sebagai sebuah parti yang berwibawa. Kalau BN bukan parti berwibawa, ia tidak akan dapat membangunkan ekonomi Malaysia suatu ketika dari hanya RM4 bilion kepada RM1.3 trilion. Siapa buat? BN dengan di bawahnya UMNO sebagai tunjang.

BN sudah ada track record untuk dibuat penilaian, iaitu BN memberi satu kestabilan politik selama 61 tahun.

Di sebalik itu lebih penting lagi harus dijadikan iktibar oleh orang UMNO –
jauhilah perangai buruk yang jauh dari sifat rahmah.

Pesanan Timbalan Yang Dipertua Agung Pas, Allahyarham Prof. Zulkiflee Muhammad (1927-1964) jelas. Hayatilah:

Beriman di mulut hati berlumut.
Beriman di lidah hati menyalah.
Lidah bercabang langkah menyilang.
Tamak harta mabuk dunia.
Lupa bangsa lupa akhirat.

Kemaruk puji lupa diri.
Ke tengah memfitnah ke tepi mendengki.
Ke laut menghasut ke darat mengumpat.
Ke hulu menipu ke hilir menyindir.
Ke atas mengampu ke bawah melapah.
Ke gunung menyombong.
Ke lurah menyumpah.

Berkawan dengan setan.
Berguru dengan nafsu.
Beraja pada selera.
Bersahabat pada maksiat.

Dalam musyawarah berbantah-bantah.
Dalam berunding tuding menuding.
Dalam helah cacat mencacat.
Sesama keluarga laga melaga.
Sesama kawan makan memakan.
Sesama sahabat sebat menyebat.
Sesama bangsa paksa memaksa.
– SM

(Visited 195 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button