Politik

Jangan membisu, rakyat nak tahu kertas siasatan kes Nazlan, gesa Puad

SEORANG pemimpin UMNO meminta tiga pihak berkuasa supaya tidak membisu berhubung persoalan rakyat mengenai kertas siasatan membabitkan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Ghazali yang bocor dan menjadi tular.

FMT melaporkan, Ahli Majlis Kerja Tertingginya Puad Zarkashi mempersoalkan sama ada tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Peguam Negara Idrus Harun dan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat berdiam diri ialah satu “trend” dalam sistem keadilan di Malaysia.

Rakyat berhak mengetahui sama ada laporan siasatan SPRM terhadap Nazlan yang dibocorkan portal Malaysia Today adalah tulen atau sebaliknya, tegas Puad.

“Rakyat juga bertanya kepada peguam negara, sudahkah beliau baca laporan SPRM yang dihantar kepadanya pada Mei. Sudah tiga bulan (berlaku), kenapa (masih) membisu juga?

“Mungkin beliau belum baca laporan itu dan tidak terfikir laporan SPRM itu akan bocor, sebab itu membisu,” katanya di Facebook.

“Rakyat juga bertanya kepada ketua Hakim negara (sama ada) kebocoran itu tidak boleh menjadi alasan agar permohonan Najib (Razak) untuk bawa bukti baru wajar dipertimbangkan.”

Pada 18 Ogos lepas, penulis blog yang berpangkalan di United Kingdom, Raja Petra Kamarudin, memuat naik dokumen yang didakwa disediakan SPRM.

Dokumen berkenaan menunjukkan siasatan SPRM terhadap Nazlan telah selesai dan laporannya telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.

Pada 16 Ogos, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Najib untuk memasukkan keterangan tambahan berhubung Nazlan menerusi rayuan akhir bagi kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Nazlan ialah hakim Mahkamah Tinggi (kini hakim Mahkamah Rayuan) yang mendapati Najib bersalah atas tujuh tuduhan membabitkan pecah amanah jenayah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram. Beliau menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib pada 28 Julai 2020.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Tengku Maimun sebulat suara membuat keputusan menolak permohonan Najib untuk memasukkan keterangan tambahan selepas mendapati tiada kaitan antara pekerjaan Nazlan sebelum ini sebagai peguam am dan setiausaha syarikat Kumpulan Maybank yang boleh mewujudkan konflik kepentingan di pihaknya.

Hakim lain yang bersidang dalam panel itu terdiri daripada Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan Nallini Pathmanathan, Mary Lim Thiam Suan dan Mohamad Zabidin Mohd Diah. – SM

(Visited 302 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button