Nasional

Isu Sanusi belum selesai titah Sultan Selangor

ISU berhubung kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Sanusi Md Nor yang dianggap menghina institusi diraja apabila memperlekeh pelantikan menteri besar masih belum selesai walaupun pemimpin PAS itu sudah memohon ampun, titah Sultan Selangor.

Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah demikian selepas pertemuan berasingan dengan Pesuruhjaya PAS Selangor, Ahmad Yunus Hairi dan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam, hari ini.

adun
Muhamad Sanusi Md Nor

“Pertemuan secara berasingan ini membincangkan mengenai kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Besar Kedah, Sanusi Md Nor dalam satu ceramah beliau di Selangor baru-baru ini yang dianggap menghina institusi diraja Selangor.

“Baginda bertitah bahawa perkara ini masih belum selesai,” menurut kenyataan Istana Selangor di Facebook.

Terdahulu, Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) dilaporkan membuat ucapan pada sebuah ceramah seolah-olah menyentuh tentang perkenan Sultan Selangor berkait pelantikan “menteri besar cokia (tiada kualiti)”.

Susulan itu, pelbagai pihak membuat laporan polis, termasuk Ahli Dewan Diraja Selangor, Emran Kadir yang menyifatkan kenyataan Sanusi menghina institusi beraja di Selangor memandangkan Sultan mempunyai prerogatif dalam pelantikan menteri besar.

Khamis lepas, Ketua Polis Negara (IGP), Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, polis sedang menyiasat Sanusi bagi kesalahan berkait 3R (kaum, agama, institusi diraja).

Pada Sabtu, Sanusi berkata, beliau mengutuskan warkah kepada Sultan Selangor untuk menjelaskan maksud sebenar ucapannya dan memohon ampun. – SM

BACA Sanusi mohon ampun kepada Sultan Selangor

BACA Anwar saman Sanusi

(Visited 260 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button