BeritaNasionalNegeriPendidikan

iProPEx2022: Penyertaan institusi antarabangsa cabar pelajar PTSS bersaing

POLITEKNIK Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) yakin dengan penyertaan institusi antarabangsa dalam program Innovation, Project Presentation and Exhibition 2022 (iProPEx2022) akan mampu memberikan cabaran kepada pelajar supaya lebih berani bersaing dengan pihak luar.

Pengarahnya, Abdul Malek Hassan berkata, program iProPEx2022 sekaligus akan menggalakkan pelajar PTSS agar menghasilkan ciptaan lebih hebat dan bertaraf antarabangsa.

Sehubungan itu, katanya, PTSS pada kali ini amat berpuas hati apabila menerima penyertaan antarabangsa dalam bentuk video dari Indonesia dan juga Thailand.

Abdul Malek Hassan (empat dari kanan) Muhadzir Mohd Isa dan Mornizawati Abdullah (belakang) bergambar dengan pihak yang menandatangani kolaborasi dengan PTSS termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis yang diwakili Pengarahnya, Ruhisha Haris (tiga dari kanan) pada majlis perasmian Penutup iProPEx2022) di PTSS Pauh.

Katanya, ia melibatkan Institut Teknologi dan Bisnis Asia Malang; Universitas Muhammadiyah Parepare; Universitas Budi Darma dan Universitas Harapan Medan dari Indonesia.

“Manakala dari Thailand pula melibatkan Saowabha Vocational College; Suphanburi Vocational College dan Trat Polytechnic College,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Perasmian Penutupan iProPEx2022 di Dewan Harumanis PTSS Pauh, Arau, Perlis, semalam.

Turut hadir Pengerusi DagangHalal Holdings Sdn. Bhd selaku Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Industri PTSS, Datuk Muhadzir Mohd Isa dan Timbalan Pengarah, Unit Kolaborasi, Bahagian Kolaborasi Industri dan Komuniti (BKIK), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Ts. Mornizawati Abdullah.

Abdul Malek Hassan (berdiri tujuh dari kiri) bersama para pelajar yang memenangi Anugerah Projek Terbaik pada majlis perasmian Penutup iProPEx2022) di PTSS Pauh.

Pada majlis itu juga sebanyak 21 yang terdiri dari pihak industri, jabatan dan agensi kerajaan telah menandatangani kolaborasi dengan PTSS.

Abdul Malek berkata, kali ini juga sebanyak 67 projek pelajar dari semua jabatan dinilai pada iProPEx2022.

“Projek pelajar ini dinilai oleh pihak industri yang diyakini dapat memberikan input berguna untuk tujuan penambahbaikan serta peningkatan pengetahuan dan kemahiran selaras dengan keperluan dan teknologi semasa,” katanya.

Abdul Malek berkata, kesungguhan para pelajar dalam menghasilkan rekacipta masing-masing menunjukkan komitmen yang tinggi dalam usaha meningkatkan kemahiran dan keupayaan diri masing-masing.

“Ini juga membuktikan melalui pelaksanaan Suistanable Development Goals adalah selari dengan halatuju politeknik yang sentiasa peka dengan perubahan dan keperluan latihan teknikal mengikut keperluan dunia perindustrian masa kini,” katanya.

Sementara itu, Muhadzir semasa berucap melahirkan rasa kagum dengan kemampuan PTSS untuk pergi lebih jauh ke luar negara.

“iProPEx 2022 ini menjadi platform membawakan institusi pendidikan dari negara seberang untuk turut serta  dan membuktikan perkongsian ilmu tidak pernah terhad dan akan memberi manfaat kepada sesiapa sahaja,” katanya. – SM

(Visited 480 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button