Mahkamah

Bekas tentera mengaku tidak bersalah cabul prebet lelaki

Seorang bekas anggota mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka di sini hari ini atas 17 pertuduhan mencabul dan mencederakan seorang prebet tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Amanah Habhijullah, 36, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman.

Mengikut pertuduhan pertama hingga 15, tertuduh didakwa telah melakukan kekerasan jenayah kepada seorang lelaki berusia 20 tahun dengan niat mencabul kehormatannya.

Perbuatan itu dilakukan di Bilik Bujang Tingkat Dua, Villa Kesatria, 73, Batalion Ordnans Diraja, Kem Terendak, Sungai Udang dalam daerah Melaka Tengah sekitar tengah malam hingga pukul 6.00 pagi antara 25 Ogos hingga 14 Oktober 2023.

Sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan (KK).

Tertuduh turut didakwa atas dua pertuduhan dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan terhadap mangsa sama di lokasi sama pada pukul 2.00 pagi 15 Oktober dan 3.00 petang 16 Oktober 2023 yang menjadi kesalahan di bawah Seksyen 323 kanun sama.

Ia memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun jika disabitkan kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Asnini Kamarudin menawarkan jaminan keseluruhan RM134,000 iaitu RM8,000 bagi setiap pertuduhan Seksyen 354 KK dan RM7,000 bagi pertuduhan di bawah Seksyen 323 KK.

Tertuduh yang diwakili peguam S Daniel bagaiamanapun dalam rayuannya memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya hanya menggunakan wang simpanan untuk kehidupan kerana dalam dalam proses diberhentikan kerja.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM9,000 bagi semua 15 pertuduhan mencabul kehormatan dan RM1,000 bagi setiap pertuduhan menyebabkan kecederaan menjadikan keseluruhan berjumlah RM11,000.

Tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan serta dilarang menghubungi atau menganggu mangsa sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes tersebut pada 30 April depan. – SM

(Visited 44 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button