Nasionalpilihan

Isteri harap rakyat Malaysia bantu bawa suami pulang dari Makkah

Seorang isteri mengharapkan bantuan daripada rakyat Malaysia untuk mendapatkan sumbangan bagi membantu membawa pulang suaminya yang kini terkandas di Hospital Al Shefa Syarif Mansour, Makkah.

“Amat besar harapan saya agar rakyat Malaysia dapat bantu bawa suami saya pulang semula ke tanah air,” ujar Jaliah Yusof.

Jaliah, 62, isteri kepada pesara Jabatan Kerja Raya (JKR), Kamis Ahmad, 67, yang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Al Shefa Syarif Mansour, Makkah akibat serangan jantung sehari sebelum pulang ke tanah air selepas menunaikan umrah pada 14 Mac lalu.

Jelasnya, suaminya tiba-tiba mengalami serangan jantung sehingga terpaksa dimasukkan ke ICU hospital berkenaan selama lapan hari sehingga 22 Mac.

Pesara guru berkata, dia memerlukan RM150,000 bagi membayar kos rawatan sepanjang suaminya berada di hospital berkenaan selain menguruskan untuk membawa pulang ke tanah air yang kini telah pulih sepenuhnya.

“Suami saya kini terpaksa ditahan di hospital berkenaan kerana masih belum menjelaskan bil rawatan akibat serangan jantung.

“Duit simpanan pun dah habis, duit insuran pun tak cukup nak bayar bil yang saya terima sebanyak RM150,000 yang perlu dijelaskan.

“Setakat ini, saya hanya dapat mengumpul RM15,000 daripada rakan, jiran dan rakyat Malaysia yang prihatin sejak anak saya memuatkan kisah suami saya di laman sosial Facebook,” ujarnya kepada pemberita di pejabat Penyelarasan dan Pembangunan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Merlimau di sini hari ini.

Jaliah berkata, dia datang berjumpa dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Dr. Muhamad Akmal Saleh bagi memohon bantuan bagi membantu membawa pulang suaminya semula ke tanah air.

Menceritakan detik cemas melandanya dia berkata, dia bersama suami serta dua adiknya bersama pasangan masing-masing mengerjakan umrah berangkat ke tanah suci pada 5 Mac lalu.

Namun katanya, suaminya merasa kurang sihat dan mengalami sesak nafas pada sebelah pagi 13 Mac dan kesihatannya makin merosot pada sebelah petangnya.

“Saya telah minta pada mutawif dari agensi umrah untuk membawa suami saya ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan tidak sangka terpaksa dimasukkan ke ICU,” ujarnya.

Dia mengakui suaminya tahun lalu mengaku sesak nafas setelah merujuk kepada Institut Jantung Negara (IJN) pada Februari lalu, didapati suaminya perlu menjalani pembedahan pada Mei ini.

Namun katanya, doktor yang merawatnya membenarkan suaminya untuk pergi menunaikan umrah cuma perlu jaga kesihatan dan jangan penat sewaktu berada di Makkah.

Bagi mereka yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Maybank anaknya, Syahmi Amar di nombor 554035429281 atau menghubungi Jaliah di nombor 013-7255212 untuk pertanyaan lanjut. – SM

(Visited 197 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button