fbpx
Bola SepakSukan

Insiden menimpa Foden, Greenwood – satu peringatan buat semua atlet

SKUAD bola sepak England sememangnya tidak kering dengan kontroversi, daripada pergaduhan sehinggalah kepada isu skandal wanita. Sebagai pengurus pasukan yang dibarisi bintang-bintang ternama, Gareth Southgate memang sentiasa dilanda pening kepala gara-gara tingkah laku anak buahnya.

Selepas kontroversi menimpa Harry Maguire setelah bintang Manchester United itu diheret sehingga ke mahkamah kerana terbabit dalam pergaduhan di pulau Mykonos dekat Greece beberapa minggu lalu, kini giliran dua pemain remaja Three Lions, Phil Foden dan Mason Greenwood pula meraih perhatian media.

Menurut laporan Daily Express di Iceland, Foden dan Greenwood didakwa bertemu dengan dua wanita di sebuah hotel yang sama menempatkan rakan sepasukannya dalam skuad kebangsaan England.

Bagaimanapun, kedua-dua pemain itu berkata, pertemuan tersebut berlaku di bahagian lain hotel berkenaan di mana para pemain dan staf skuad England tinggal.

Baik Foden mahupun Greenwood, telah dikritik hebat angkara tindakan mereka melanggar peraturan penjarakan sosial yang ditelah digariskan Kerajaan Iceland.


Disebabkan pelanggaran peraturan coronavirus negara tersebut, kedua-dua pemain itu telah didenda oleh polis Iceland. Mereka telah diarahkan membayar denda sebanyak 1,300 pound (RM7,118).

Mujurlah kedua-dua pemain remaja itu yang berusia 20 tahun (Foden) dan 19 tahun (Greenwood), sedar terhadap kesilapan mereka dan membuat permohonan maaf. Malah disebabkan perbuatan mereka itu juga mengakibatkan Foden dan Greenwood disingkir daripada skuad England menjelang pertemuan menentang Denmark yang berlangsung awal pagi tadi (waktu Malaysia). England diikat Denmark dengan keputusan seri 0-0.

Foden dan Greenwood dilabel sebagai naif oleh bos England, Southgate selepas melanggar peraturan kuarantin di Iceland.

Southgate mengulas isu tersebut pada sidang akhbar menjelang perlawanan England menentang Denmark.

“Ini merupakan situasi yang serius dan kami perlu bertindak tegas. Kami perlu mengendalikan isu ini secara sewajarnya. Saya akur dengan usia mereka, tetapi seluruh dunia berdepan pandemik ini,” tegas Southgate.

Foden yang mengeluarkan kenyataan menerusi Instagram berkata, dia memohon maaf di atas tingkah lakunya dan menegaskan akan belajar daripada kesilapannya itu.

“Selepas laporan berita yang keluar, hari ini (semalam) berhubung tingkah laku saya di Iceland, saya memohon maaf. Saya minta maaf kepada Gareth Southgate, rakan sepasukan dalam skuad England, staf, penyokong, kelab dan juga keluarga saya.

“Sewaktu saya dipanggil Gareth untuk perlawanan ini, reaksi pertama saya ialah berasa bangga. Berpeluang menyarung jersi bersama skuad senior pada penampilan sulung bersama England merupakan satu penghormatan.

“Saya seorang pemain muda yang masih perlu banyak belajar, tetapi saya sedar tanggungjawab yang perlu saya galas sewaktu mewakili Manchester City dan England di tahap ini.

“Saya telah membuat satu keputusan yang salah dan tingkah laku saya tidak memenuhi standard yang diharapkan. Saya melanggar protokol Covid-19 yang digariskan untuk melindungi diri saya sendiri dan juga rakan sepasukan dalam skuad England.

“Akibatnya saya terlepas peluang terbang ke Denmark bersama skuad, dan ia mengecewakan saya. Saya akan belajar daripada kesilapan ini dan saya mengucapkan selamat maju jaya kepada Gareth dan pasukan,” katanya.

Insiden yang menimpa pemain-pemain England ini wajar dijadikan sebagai pengajaran dan sempadan kepada semua atlet khususnya pemain bola sepak di Malaysia.

Kehidupan glamor dan mudah didekati wanita jelita bukanlah menjadi titik tolak kepada sesebuah kejayaan kerana ia juga mungkin menjebakkan anda kepada kejatuhan. – SM

(Visited 1 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button