Luar Negara

Indonesia kaji semula sesi pembelajaran bersemuka

Kes Covid-19 naik varian Omicron penyebab

INDONESIA sedang berura-ura untuk mengkaji semula sesi pembelajaran bersemuka atau secara fizikal susulan kes Covid-19 di negara republik itu meningkat.

Angka kes harian Covid-19 dilaporkan terus meningkat di sekolah di Indonesia mengakibatkan pihak berkuasa melancarkan penilaian menyeluruh terhadap sesi pembelajaran secara bersemuka di sekolah (PTM).

Presidennya, Joko Widodo meminta pihak berkuasa di tiga wilayah iaitu Banten, Jakarta dan Jawa Barat yang merekodkan bilangan kes tertinggi harian untuk menilai semula pelaksanaan PTM.

Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi meminta penilaian itu dibuat ketika sesi mesyuarat secara maya di Kalimantan Timur pada Isnin depan.

“Mesyuarat secara maya itu diadakan bagi membuat penilaian perintah kawalan pergerakan (PPKM). Saya ingin menekankan bahawa kes aktif telah meningkat. Kita mesti terus berwaspada,” katanya.

Indonesia melaporkan 16,021 kes baharu jangkitan Covid-19 pada Selasa, melonjak daripada 274 kes pada 1 Januari lalu akibat kehadiran varian Omicron.

Dalam masa yang sama, sebanyak lima kes kematian dicatatkan akibat varian Omicron setakat ini di negara jiran itu.

Hampir sebulan selepas sesi persekolahan bermula di Jakarta, 98 sekolah di ibu negara telah terpaksa ditutup selama lima hari kerana wabak berkenaan.

Gabenor Jakarta, Anies Baswedan

Sementara itu, Gabenor Jakarta, Anies Baswedan berkata, kerajaan tempatan sedang memantau keadaan yang berlaku.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan sesi PTM digantung sementara jika warga sekolah berisiko tinggi dijangkiti virus Omicron.

Pada 3 Januari lalu, Indonesia membuka semula 264,704 atau 59% sekolah yang melibatkan 33,497,256 pelajar dengan kapasiti 100% di bawah syarat-syarat ketat.

Pihak berkuasa memutuskan tindakan berkenaan selepas 80% guru telah menerima dua dos vaksin Covid-19 dan 80% pelajar telah menerima suntikan dos pertama manakala 58% daripada mereka telah lengkap divaksin.

Penutupan sekolah ketika pandemik Covid-19 telah menyebabkan kebimbangan mengenai pembelajaran generasi Covid-19.

Ketika kerajaan di seluruh dunia menimbang risiko kesihatan untuk membuka semula sekolah pada Disember lepas, pengarah eksekutif UNICEF, Henrietta Fore memberi amaran penutupan sekolah harus menjadi langkah terakhir meskipun varian Omicron sedang menular.

Selain ketinggalan pelajaran, beliau berkata, kanak-kanak juga telah kehilangan persekitaran selamat di sekolah, interaksi harian dengan rakan-rakan, akses kepada penjagaan kesihatan dan hidangan berkhasiat mereka pada hari itu.

“Kerajaan harus meningkatkan pelaburan dalam liputan digital bagi memastikan tiada kanak-kanak tertinggal,” katanya dalam  satu kenyataan. – SM

 

(Visited 232 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button