fbpx
BeritaNasional

Ikan paus Humpback Whale ‘sesat’ di Teluk Senangin

LUMUT 2 Dis. – Seekor ikan paus dipercayai daripada spesis Humpback Whale atau nama saintifiknya Megaptera Novaeangluae dijumpai di perairan Batu Malang di Teluk Senangin di sini.

Rakaman aksi ikan paus tersebut yang dirakam nelayan tempatan dan dimuat naik di media sosial tular sejak Sabtu lalu.

Ketua Cawangan Mamalia Marin Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang, Mohd. Tamimi Ali Ahmad berkata, ikan paus yang dianggarkan berusia kurang setahun itu dipercayai masuk ke perairan negara setelah terpisah daripada ibunya.

Katanya, ikan paus daripada spesis tersebut biasanya ditemui di Lautan Pasifik dan penemuan mamalia itu pertama kali dijumpai di perairan semenanjung Malaysia.

“Ikan paus yang dijumpai ini dipercayai masih bayi lagi dan dianggarkan berusia kurang daripada setahun. Berdasarkan rakaman video tersebut, spesis marin itu bersaiz panjang antara lima ke lapan meter.


“Kita percaya, ikan paus itu terpisah daripada ibunya. Mamalia ini biasanya bergerak berkumpulan dan hidup secara nomad. Sehingga hari ini, ikan paus tersebut masih berlegar-legar di kawasan Pulau Pangkor dan Teluk Senangin,” katanya ketika ditemui di Pejabat Pangkalan Utama, Cawangan Perlindungan Sumber, Kompleks Perikanan Kampung Acheh, Sitiawan di sini hari ini.

Menurut Mohd. Tamimi, pemantauan secara berkala dilakukan oleh Pasukan Bertindak Kedamparan Spesis Marin Terancam ke atas pergerakan ikan paus berkenaan sekali gus bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Katanya, pihaknya yakin ikan paus itu mampu bertahan di perairan negara ini sekiranya tidak mempunyai sebarang kecederaan luaran.

“Ikan paus itu dijumpai di perairan dengan kedalaman antara tujuh ke 10 meter. Paras tersebut adalah tidak sesuai untuk spesis marin ini kerana ia patut berada di lautan dalam.

“Tambahan lagi, kawasan mamalia itu berlegar-legar adalah di sekitar lokasi nelayan darat menangkap ikan dan memasang pukat. Dikhuatiri ikan paus itu akan tersangkut sekali gus tercedera,” katanya.

Tambahnya, pihaknya telah memaklumkan mengenai kehadiran mamalia itu kepada nelayan setempat dan meminta mereka agar tidak mendekati ikan paus berkenaan.

“Berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada nelayan, ikan paus itu bergerak bebas dan tidak mendekati mahupun menyerang mereka,” katanya.-PerakGazette

Show More

Related Articles

Back to top button