Nasionalpilihan

Idea Keluarga Malaysia bukan retorik semata-mata

Idea Keluarga Malaysia yang diilhamkan oleh kerajaan bukan retorik atau slogan semata-mata.

Perdana Menteri, Datu Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Keluarga Malaysia merupakan semangat yang diterapkan kerajaan dalam pentadbiran negara, di mana kepentingan dan kesejahteraan rakyat dipelihara seperti menjaga sebuah keluarga.

“Mengambil contoh sebuah keluarga, andai kata ada di kalangan anak kita yang lemah dari segi pembelajaran, sudah tentu kita akan memberi lebih tumpuan.

“Apatah lagi jika ada ahli keluarga yang kurang bernasib baik dalam kehidupan, pasti kita akan menghulurkan pertolongan dan tidak membiarkan mereka bersendirian.

“Begitu juga dalam pentabiran kerajaan pada hari ini. Keluarga Malaysia seperti golongan B40 dan M40 yang terkesan akibat pandemik, akan terus diberi fokus dan keutamaan dalam mendapat manfaat bantuan-bantuan kerajaan,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Pelancaran Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Borneo, Kuching, Sarawak hari ini.

Menurut Ismail Sabri, pembangunan sosio ekonomi negara, di negeri-negeri yang kurang membangun juga akan terus diberi keutamaan.

“Sarawak merupakan antara 6 negeri selain Sabah, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis yang diberi tumpuan khusus bagi merapatkan jurang pembangunan ekonomi antara negeri, wilayah, bandar dan luar bandar, agar kemakmuran ekonomi dinikmati secara adil dan saksama.

“Bagi tujuan ini, sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keseluruhan peruntukan pembangunan asas persekutuan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), akan diagihkan kepada 6 negeri ini, melibatkan penyediaan infrastruktur asas, pendigitalan, pendidikan, perkhidmatan penjagaan kesihatan dan pembangunan ekonomi.

“Pendekatan yang sama juga akan menjadi intipati Bajet 2022 yang akan dibentangkan pada
minggu hadapan,” katanya.

Tambahnya, kerajaan akan memantau secara dekat pelaksanaan program dan inisiatif yang dirancang, khususnya Sabah dan Sarawak, dalam usaha memastikan kita sama-sama membangun sebagai sebuah Keluarga Malaysia. -SM

(Visited 24 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button