Politik

Hanya yang gila berpolitik kata Malaysia gagal tangani Covid-19

KUMPULAN yang mendakwa Malaysia telah gagal menangani pandemik Covid-19 disifatkan sebagai golongan yang gila berpolitik.

Golongan itu menurut Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang seolah-olah tidak berada di atas bumi sebaliknya berada di planet lain.

“Hal ini disebabkan oleh nafsu politik angkuh mereka terlalu tinggi dan sangat rakus mahu berkuasa, sehingga mendabik dada dalam menyelesaikan masalah seperti apa yang dijanjikan dalam manifesto PRU-14 dahulu.

“Mereka masih ingin mengaku boleh menyelesaikan semua masalah dalam sekelip mata sahaja, sehingga sanggup merempuh keadaan paling mencabar yang masih dihadapi oleh mereka yang berada di barisan hadapan,” kata Abdul Hadi.

Beliau menyelar sikap golongan yang mendakwa bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia sebagai berpolitik apabila melaporkan angka statistik penularan wabak Covid-19.

Abdul Hadi berkata, KKM tidak boleh menyembunyikan realiti atau kenyataan sebenar yang berlaku di lapangan dan wajid melaporkan angka statistik tersebut secara berterus terang

Tambah beliau terdapat juga kumpulan yang berani mencabar pihak yang menunaikan kewajipan menangani pandemik Covid-19.

Kumpulan itu Abdul Hadi sifatkan seperti orang buta memarahi orang yang menolongnya untuk menyeberangi jalan yang sibuk dan lalu lintas yang berbahaya.

“Sepatutnya berterima kasih kerana ada orang yang menolongnya, tetapi dibalas dengan maki hamun, seolah-olah tiada pertimbangan akal yang sihat, sudahlah matanya pula buta.

“Kepada mereka yang dimaki, mudah-mudahan mendapat pahala percuma, manakala mereka yang memaki mendapat dosa dengan mudah.

“Jika bernasib malang, mereka boleh menghadapi hukuman atau tindakan undang-undang, bersekali dengan dosa, kerugian di dunia dan di akhirat jika tidak meminta maaf dan bertaubat,” kata Abdul Hadi.

Menurutnya, ketika ini belum ada negara dalam dunia yang boleh mendabik dada mengatakan mereka berjaya menghadapi penularan wabak pandemik Covid-19.

Ini disebabkan muncul pelbagai varian baru yang dikatakan paling berbahaya seperti varian Delta dan lain-lain bentuk sehingga Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberikan amaran kepada semua negara supaya bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Pada saat ini katanya, petugas barisan hadapan berusaha penuh gigih dengan mengambil langkah pencegahan khususnya meningkatkan jumlah suntikan vaksin dengan seluas-luasnya bagi menyelamatkan rakyat.

Dalam keadaan yang mencabar seperti ini katanya, peranan semua pihak adalah menyelamatkan keadaan secara bersama dan menolak segala kepentingan peribadi, puak dan kumpulan.

“Di sinilah pentingnya memelihara perpaduan dan permuafakatan yang sedia terjalin bagi meredakan ketegangan dan mewujudkan kestabilan politik dalam negara.

“Segala usaha dan perjuangan untuk menangani Covid-19 oleh pihak pemerintah perlu didukung bersama tanpa berputus asa dan hendaklah bertolong-menolong bagi menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN), demi menjaga nyawa seluruh rakyat tanpa mengira perbezaan agama, bangsa dan fahaman politik,” kata Abdul Hadi.-SM

 

 

 

 

(Visited 148 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button