Nasional

Covid-19: Cabaran menentukan prosedur bazar Ramadan

PENGURUSAN bazar Ramadan pada tahun ini pasti mencabar terutama bagi memastikan orang ramai tidak bersesak-sesak ketika membeli juadah.

Jika bazar itu ditiadakan juga akan memberikan implikasi negatif kerana bakal menjejaskan pendapatan ratusan ribu peniaga kecil selain menyukarkan orang ramai.

Untuk bagi Wilayah Persekutuan prosedur pengurusan bazar Ramadan mulai tahun ini akan dipertingkat bagi mengelak orang ramai bersesak di gerai-gerai jualan.

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya akan membuat penelitian lanjut bersama pihak yang berkaitan sebelum pengumuman mengenai perkara itu dilakukan sedikit masa lagi.

“Saya tidak mahu oleh kerana Singapura atau pihak-pihak lain mengumumkan tiada bazar (Ramadan) pada tahun ini maka kita pun cakap tidak ada,” katanya kepada media sebelum melakukan tinjauan kerja-kerja disinfeksi atau nyahcemar di bangunan kedai Presint 15, di Putrajaya  hari ini seperti yang dilaporkan BERNAMA.

Beliau berkata pengurusan bazar Ramadan perlu diubah suai tanpa membatalkannya memandangkan ia merupakan keperluan terutamanya bagi mereka yang tinggal di bandar.

“Kita kena fikirkan keperluan masyarakat bandar yang tidak sempat memasak selepas habis bekerja,” katanya.

“Saya mahu perkara ini dibuat penelitian, kerana bazar Ramadan yang lazimnya besar dan luas yang dibuat sebelum ini besar kemungkinan kita tidak boleh lakukan lagi,” katanya.

Annuar menjelaskan kemungkinan bazar Ramadan pada tahun ini, sebagai contoh di tempat yang mempunyai hingga 50 gerai, mungkin hanya ada 10 gerai sahaja dan akan dijarakkan antara satu sama lain serta dibuka di banyak tempat.

“Yang pastinya sama ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini diteruskan atau tidak kita tidak akan meneruskan cara lama yang boleh membawa kepada masalah kesihatan

“Kita kena perbaiki kehidupan, kita jangan hanya disiplinkan diri sewaktu PKP, banyak perkara yang kita boleh belajar dan amalkan terus pada pasca PKP nanti,” katanya.

Kerajaan menguatkuasakan PKP mulai 18 Mac sehingga 14 April bagi mengekang penularan COVID-19. – SM

(Visited 81 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button