NasionalNegeri

Belajar hadis tetapi pastikan ia sahih – Pemangku Raja Perlis

PEMANGKU Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, antara perkara utama yang perlu dititikberatkan dalam pembelajaran hadis-hadis Nabi SAW itu apabila setiap hadis yang didengar serta dibaca itu perlu dipastikan kesahihannya sebelum diamalkan dalam kehidupan.

“Dalam memastikan kesahihan sesuatu hadis, mereka yang pakar atau ilmuan yang benar-benar faham dalam menilai sesuatu hadis sama ada ia sahih atau palsu, perlulah dirujuk,” titah Baginda.

Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra selepas berkenan menyempurnakan sesi menandatangani sijil-sijil serta watikah-watikah kepada para Pemegang Tauliah Mengajar Agama Islam dan Al-Quran Negeri Perlis Bilangan 1 bagi tahun 2023 yang diselaraskan oleh Jabatan Mufti Negeri Perlis di Istana Arau baru-baru ini.

Semua senarai para penerima watikah berkenaan telah diperakukan nama-nama mereka oleh Mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Titah Tuanku Syed Faizuddin Putra lagi, telah menjadi tanggungjawab bagi setiap umat Islam yang berpegang teguh dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah untuk beramal dengan sumber-sumber yang sahih daripada petunjuk Nabi SAW melalui huraian ulama yang muktabar.

“Adalah tidak lengkap kefahaman seseorang yang mengaku sebagai pengikut Ahli Sunnah Wal Jamaah jika dia tidak mengambil berat tentang sunnah Rasulullah SAW yang datangnya daripada hadis-hadis yang sahih,” titah Baginda. – SM

(Visited 64 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button