Ekonomi

Hanya 10 daripada 300 sanggup lakukan kerja penuaian SDP

SIME Darby Plantation Bhd (SDP) memaklumkan antara 200 hingga 300 pekerja, hanya 10 orang dikatakan sanggup melakukan kerja penuaian.

Sementara selebihnya pula dikatakan memilih untuk melakukan tugas-tugas am.

Justeru SDP berharap agar kerajaan akan membenarkan pekerja asing dibenarkan untuk kembali dalam sektor perladangan.

Keperluan tersebut adalah bagi memastikan kerja-kerja penuaian tandan buah segar (TBS) kelapa sawit dapat dilaksanakan.

“Lazimnya seorang pekerja boleh menuai 1.5-2.0 tan TBS sehari.

“Pada masa ini kami kekurangan lebih 2,000 pekerja yang menyebabkan syarikat berdepan kerugian pada tahun ini.”

Demikian kata Pengarah Urusan Kumpulan SDP, Mohamad Helmy Othman Basha dipetik laporan Bernama semalam.

Beliau berkata demikian apabila SDP berhadapan kesukaran untuk mendapatkan tenaga kerja tempatan.

Menurutnya pada masa ini 75 peratus daripada pekerja ladang SDP adalah warga asing.

Beliau juga beranggapan positif jika angka itu dapat dikurangkan kepada 70 peratus pada tahun ini.

Bagi mengatasi masalah tersebut, SDP juga memaklumkan pihaknya meneliti pilihan yang ada termasuk mengambil pekerja tempatan.

SDP juga dilapor meningkatkan aspek mekanisasi dan digitalisasi bagi mengurangkan kesan kekurangan pekerja.

Bagaimanapun syarikat berkenaan optimis untuk mengekalkan pengeluaran TBS tahun lepas sebanyak 10 tan.

Keyakinan itu dilihat walaupun tahun 2019 disifatkan ebagai tahun kurang menarik bagi komoditi khususnya pengeluaran susulan musim kemarau.

Walau bagaimanapun, pengeluaran yang rendah itu menyumbang kepada peningkatan harga harga purata komoditi tersebut kepada RM2,813 satu tan pada Disember 2019 berbanding RM1,879 satu tan pada Julai.

SDP turut memberi unjuran harga minyak sawit mentah (MSM) diniagakan RM2,500 satu tan hingga RM2,600 satu tan sehingga hujung tahun ini.

Malah setakat ini, pembeli tradisional minyak sawit Malaysia – India dan China dilaporkan telah kembali semula.

Sementara itu, Pengarah Urusan Sime Darby Oils Sdn Bhd Mohd Haris Mohd Arshad memberitahu India sememangnya dikenali sebagai pengguna MSM manakala Malaysia merupakan pembeli terbesar olein sawit negara ini.

“Pada masa ini, kami sudah mula memenuhi permintaan bagi produk-produk dan eksport juga telah kembali ke paras sebelum berlakunya COVID-19.

“Namun, kami juga bimbangkan permintaan yang akan terjejas sekiranya harga terus meningkat,” katanya.

Dalam pada itu, SDP turut melaporkan keuntungan bersihnya melonjak kepada RM378 juta pada suku kedua tahun ini.

Peningkatan ketara itu dilihat apabila, hanya RM27 juta dicatatkan dalam tempoh sama tahun lalu.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, SDP juga memaklumkan perolehannya menokok kepada RM3.21 bilion berbanding RM2.86 bilion.

Manakala pendapatan asas sesahamnya pada 5.50 sen iaitu meningkat daripada 0.40 sen.

Pada suku sama juga, SDP berjaya mengurangkan pinjaman bersihnya ebanyak RM580 juta berbanding kedudukan pada 31 Mac.

Sebahagian besarnya berpunca daripada pinjaman bersih RM448 juta akibat peningkatan tunai yang dijana daripada operasi, penyusutan dolar US berbanding ringgit sebanyak satu peratus dan membawa kepada baki pinjaman lebih rendah sebanyak RM104 juta manakala baki tunai meningkat kepada RM28 juta. – SM

(Visited 500 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button