Ekonomi

AGM SCIB lulus pelantikan semula NEXIA SSY PLT sebagai juruaudit

KUCHING, 8 DISEMBER 2022 – Para pemegang saham Sarawak Consolidated Industries Berhad (SCIB) mengundi untuk melantik semula NEXIA SSY PLT sebagai juruaudit dan memberi kuasa kepada para pengarah untuk menetapkan imbuhannya, di dalam Mesyuarat Agung Tahunan ke-46 yang diadakan secara maya hari ini.
Pemegang saham juga meluluskan resolusi yang membenarkan penerbitan dan peruntukan saham menurut Seksyen 75 dan 76 Akta Syarikat 2016 sambil mengetepikan hak pendahuluan mereka.
Resolusi untuk memilih semula Dato’ Dr. Ir. Ts. Mohd Abdul Karim Abdullah dan Datu Abdul Hadi Datuk Abdul Kadir ke lembaga pengarah tidak dibentangkan kerana mereka bersara berkuat kuasa 8 Disember 2022.
Resolusi lain yang diluluskan termasuk pelantikan semula pengarah yang layak untuk pemilihan semula.


Pengarah Urusan Kumpulan SCIB, Rosland Othman berkata, pihaknya gembira dapat melibatkan diri dengan pemegang saham secara maya dalam AGM hari ini dan menjawab soalan mereka.
“Bagi pihak SCIB, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana telah meletakkan kepercayaan dan keyakinan mereka kepada kami pada tempoh yang mencabar. Saya dengan yakin boleh mengatakan bahawa Syarikat menantikan tahun 2023 berikutan langkah-langkah yang telah kami pakai dengan memfokuskan pada kekuatan kami dan memastikan daya tahan kami dalam menghadapi perubahan dalam industri pembinaan,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut katanya, antara langkah-langkah yang diambil oleh Syarikat ialah melakukan “kitchen sinking exercise” berkaitan dengan pembatalan empat projek baru-baru ini serta perjanjian penyelesaian enam projek di Qatar dan Oman di mana langkah-langkah ini telah diambil untuk menjaga kepentingan syarikat.
Berkenaan dengan pembatalan lima projek, keputusan telah diambil selepas menyemak dan mengemas kini rekod buku pesanan SCIB untuk menggambarkan keadaan semasa manakala, berkenaan dengan projek di Qatar dan Oman, tiada kesan kewangan kepada penghutang perdagangan.
“Berkenaan dengan prospek, sebagai pengeluar konkrit pratuang dan Sistem Binaan Berindustri (“IBS”) terkemuka di Malaysia Timur, kami menjangka kejayaan tender Sarawak Economic Development Corp bagi kontrak Sistem Pakej Dua RM448 juta untuk projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching fasa satu akan impak positif kepada ekonomi negeri manakala pengumuman projek MRT3 bernilai RM50 bilion akan merangsang permintaan untuk perkhidmatan kejuruteraan awam dan bahan binaan serta memberikan rangsangan yang amat diperlukan kepada sektor pembinaan negara,” katanya lagi.
Sehingga 30 November 2022, SCIB mempunyai buku pesanan sebanyak RM564.7 juta dengan keterlihatan pendapatan sehingga 2026.

(Visited 133 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button