EkonomiPolitik

Dilema ahli perniagaan di dalam arena politik

SEMALAM kecoh Tengku Adnan Tengku Mansor berang selepas aset beliau bernilai hampir satu bilion mahu didedahkan kepada umum di mahkamah.

Cerita sedemikian cepat dilaporkan oleh media tidak kira portal nyamuk, mahupun yang berada di dalam senarai arus perdana.

Dalam kes Tengku Adnan fakta kes tidak pula ditampilkan, tetapi insiden kecil itu yang menjadi sorotan.

Kita elak untuk mengulas kes mahkamah yang sedang berlangsung, biarlah mahkamah yang memutuskannya.

Siapa yang tidak menjadi emosi kerana keselamatan ahli keluarga menjadi galang ganti jika segalanya didedahkan kepada umum.

Inilah menyebabkan kebanyakan ahli perniagaan yang berjaya enggan menyertai politik. Ahli perniagaan memang tidak pernah mengisytiharkan harta mereka. Mendedahkan kekayaan hanya akan mengundang pelbagai ancaman serta masalah.

Sebagai contoh Mokhzani Mahathir iaitu anak kepada Dr. Mahathir pada awalnya lebih aktif di dalam politik berbanding Mukhriz, tetapi akhirnya memilih untuk menumpukan kepada perniagaannya.

Ramai juga ahli perniagaan yang menjadi korban apabila menyertai politik termasuk menteri besar kedah Syed Razak Syed Zain.

Kebanyakan ahli perniagaan yang menyertai politik kerana mereka merasakan dapat menyumbang dengan lebih berkesan kepada pembangunan negara dan meningkatkan pengaruh, berbanding hanya berada di dalam dunia perniagaan.

Sedangkan politik dan negara memerlukan mereka menyumbang untuk pembangunan negara serta kesejahteraan rakyat.

Tengku Adnan atau Ku Nan menyertai kabinet pada tahun 2001 sebagai Timbalan Menteri semasa Tun Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

Ku Nan yang berperwatakan sederhana dan tidak gemar mempamerkan kekayaan beliau seperti ahli politik lain. Dan itu memang karaktor kebanyakan orang kaya termasuklah Syed Mokhtar Albukhary.

Memetik facebook  Muhammad Hussin, Jarang saya melihat beliau mempamerkan kekayaannya dan gaya hidupnya adalah sederhana. Namun saya akui beliau gemar makan makanan enak ala kampung.

Mereka yang tidak mengenali latar belakang beliau akan menuduh beliau korup kerana kes yang melibatkan RM2 juta. Namun jika dilihat dari aset yang beliau miliki, RM2 juta adalah terlalu kecil. Ibarat anda mempunyai RM1000 maka RM2 itu terlalu kecil buat anda.

Ku Nan adalah seorang ahli perniagaan yang berjaya sebelum berkecimpung dalam politik. Beliau adalah lepasan Institut Teknologi Mara. Kejayaan beliau dalam perniagaan adalah sama seperti yang dikecapi oleh Quek Leng Chan, Teh Hong Piow, Syed Mokhtar Albukhary, Ananda Krishan, Vincent Tan, Lim Kok Thay dan lain-lain lagi. Semua nama-nama diatas adalah billionaire Malaysia dan usahawan yang berjaya.

Bezanya Ku Nan dengan mereka ialah Ku Nan setelah berjaya dalam perniagaan mahu aktif dalam politik manakala ahli perniagaan yang saya senaraikan diatas tidak mahu melibatkan diri dalam politik (pendekatan yang diambil oleh kebanyakan ahli perniagaan).

Apabila beliau mula dilantik menjadi Timbalan Menteri, aset beliau sudah pun hampir satu bilion ringgit. Walaupun beliau pernah memegang jawatan politik sebelum dilantik dalam kabinet tetapi jawatan politik ini tidak memungkinkan beliau menjadi terlalu kaya.

Oleh itu pertuduhan bahawa kekayaan beliau bersangkutan dengan kedudukan selepas 2001 setelah menyertai kabinet adalah tidak masuk akal.

Beliau tidak mahu mendedahkan kedudukan kekayaannya bukan kerana beliau ingin menyembunyikan kekayaannya tetapi mengenali beliau yang sederhana, kita akan memahami kenapa beliau bertindak sedemikian. Di samping itu sudah pasti pendedahan sebegini tidak sesuai dari segi keselamatan.

Pendedahan sebegini mendedahkan beliau dan anak-anak, isteri dan kaum kelurga beliau kepada kegiatan jenayah dan penculikan. Tambahan pula mana ada ahli perniagaan yang mengistiharkan harta mereka secara terbuka. Nilai yang diperolehi yang menyenaraikan mereka yang terkaya adalah berdasarkan anggaran dari nilai syarikat yang mereka ada kepentingan.

(Visited 507 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.
Back to top button