Berita

Kes rasuah RM1 juta Tengku Adnan didengar di hadapan hakim baharu

KUALA LUMPUR, 18 Feb — Perbicaraan kes rasuah RM1 juta bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor didengar di hadapan hakim Mahkamah Tinggi yang baharu.

Ini berikutan keputusan  Mahkamah Rayuan pada 12 Feb lepas yang membenarkan rayuan Tengku Adnan, 69, agar Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes itu dan memerintahkan supaya kes tersebut dipindahkan ke mahkamah lain.

Hari ini semasa pengurusan kes itu, Hakim Mohd Nazlan berkata beliau mengambil maklum keputusan  Mahkamah Rayuan.

“Kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi 4 (Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin),” katanya.

Semasa prosiding di hadapan Hakim Muhammad Jamil, Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim memberitahu mahkamah pihaknya telah membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan.

“Mohon satu tarikh sebutan ditetapkan sementara menunggu proses rayuan di Mahkamah Persekutuan serta penangguhan  perbicaraan yang telah ditetapkan sebelum ini sehingga rayuan di Mahkamah Persekutuan selesai,” katanya.

Hakim Muhammad Jamil membenarkan penangguhan tersebut dan menetapkan 25 Mac untuk pengurusan kes.

BACA JUGA:

Ku Nan cuti sakit, prosiding bela diri tangguh

Setakat ini dua saksi pendakwaan telah memberi keterangan dalam perbicaraan  kes itu di hadapan Hakim Mohd Nazlan.

Tengku Adnan merayu terhadap keputusan Hakim Mohd Nazlan pada 20 Sept tahun lepas yang menolak permohonannya supaya hakim itu menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes yang dihadapinya.

Ahli Parlimen Putrajaya itu memohon Hakim Mohd Nazlan menarik diri daripada mendengar kesnya kerana hakim itu telah membaca dan mempertimbangkan fakta kes Tan  yang membuat pengakuan bersalah terhadap pertuduhan  bersubahat dengan Tengku Adnan yang menerima suapan RM1 juta daripadanya (Tan) dan didenda RM1.5 juta.

Pada 15 Nov tahun lepas, Tengku Adnan mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menerima suapan RM1 juta daripada ahli perniagaan Datuk Tan Eng Boon melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank kepunyaannya (Tengku Adnan).

Perbuatan itu didakwa dilakukan sebagai upah untuk membantu permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd (sekarang dikenali sebagai Paragon City Development Sdn Bhd) bagi menambah nisbah plot sebidang tanah berkaitan dengan pembangunan Lot 228, Jalan Semarak, Kuala Lumpur, diluluskan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, cawangan Pusat Dagangan Dunia Putra, Tingkat 2, Blok Podium, Pusat Dagangan Dunia Putra, Jalan Tun Ismail, di sini pada 27 Dis 2013.

Tengku Adnan juga menghadapi pertuduhan pilihan iaitu menerima RM1 juta daripada Tan  tanpa sebarang balasan melalui cek Public Bank bernombor 300109 ke dalam akaun tertuduh mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

— BERNAMA

(Visited 185 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.
Back to top button