Politik

Putrajaya semakin panas

Ketua bahagian UMNO dan timbalan bertelagah

RAMAI yang mengidam untuk masuk ke pejabat sebagai kerajaan di Putrajaya.

Ramai juga yang mengidamkan kerusi Parlimen Putrajaya kerana dikatakan ia adalah kerusi empuk dan mudah dimenangi terutama mereka yang tidak mempunyai sokongan akar umbi.

Ini menjadikan kerusi Putrajaya tiba-tiba menjadi panas walaupun pilihan raya belum diketahui bila akan berlaku, tetapi perebutan kerusi sebegini menandakan tarikh itu semakin hampir.

Contohnya sebagai senator yang dilantik menjadi menteri, sedangkan di akar umbi menteri berkenaan hanya mewakili parti yang baharu berusia setahun jagung.

Ada juga yang mahu lari ke Putrajaya setelah dicop sebagai pengkhianat setelah melompat dari parti asal demi survival politik. Sudah tentu jika bertanding di tempat asal ahli politik berkenaan akan dicincang oleh penyokongnya.


Apatah lagi penyandang kerusi Putrajaya, Tengku Adnan Tengku Mansor kemungkinan besar tidak dapat bertanding pada pilihan raya akan datang, setelah didapati bersalah di mahkamah dan dalam proses rayuan ke mahkamah lebih tinggi.

Tengku Adnan yang memenangi kerusi berkenaan selama empat penggal dikatakan mahu meletakkan anaknya Ketua Pemuda UMNO Bahagian Putrajaya, Tengku Iqbal Munawwir sebagai calon pada pilihan raya akan datang jika beliau tidak dapat bertanding kerana kehilangan kelayakan.

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu berkemungkinan tidak lagi bertanding dan jawatannya sebagai Ketua Bahagian terlucut jika rayuannya gagal selepas dikenakan hukuman penjara 12 bulan dan denda RM2 juta kerana didapati bersalah menerima rasuah RM2 juta dari seorang ahli perniagaan.

Ia sekali gus menyebabkan kedudukannya sebagai ahli Parlimen ketika ini bakal hilang kelayakan sekiranya didenda lebih RM2,000.

Secara luaran ia mudah dilaksanakan kerana Datuk Seri Tengku Adnan selaku Ketua Bahagian UMNO cukup dikenali oleh penduduk di Putrajaya dan kehadiran anaknya tidak berdepan dengan banyak tentangan.

Bagaimanapun Tengku Adnan atau Ku Nan perlu berdepan dengan timbalan beliau Datuk Tun Faisal Ismail Aziz yang mempunyai idea yang berbeza, dan dianggap penghalang kepada hasrat tersebut, selain pihak lain di dalam dan di luar UMNO.

Difahamkan tindakan melaporkan Tun Faisal kepada lembaga disiplin parti salah satu gerakan untuk menggantung keahlian Tun Faisal sekali gus menyebabkan beliau tidak boleh bertanding di kawasan berkenaan.

Difahamkan juga tuduhan itu adalah berkaitan memfitnah dan mengkritik Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi secara terbuka.

Terbaharu Ku Nan dikatakan mengadakan pertemuan dengan ahli jawatankuasa bahagian antara lain butiran yang dibincangkan adalah  mengenai kedudukan Tun Faisal.

Tun Faisal ketika ditanya berkenaan isu berkenaan berkata, beliau ada menerima maklumat berhubung perjumpaan tersebut.

“Ya, betul. saya ada dimaklumkan oleh mereka yang hadir dalam perjumpaan itu. Saya ada beri penjelasan mengenai perkara yang dibangkitkan mengenai saya di dalam group whatsapp ketua-ketua cawangan Putrajaya dan AJK bahagian Putrajaya,” katanya.

Dalam pada itu seorang lagi pemimpin UMNO yang berminat dengan kerusi Putrajaya ialah Khairy Jamaludin yang merupakan Menteri Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia, juga  Ahli Parlimen Rembau.

Khairy atau KJ dikatakan akan memberi laluan kepada Datuk Mohamad Hassan untuk bertanding di Parlimen Rembau bagi membolehkan pemimpin UMNO itu masuk ke Kabinet.

“Saya tidak dapat mengesahkan tentang hasrat KJ untuk bertanding di Putrajaya, tapi bagi saya, saya mengalu-alukan pemimpin berjawatan Menteri atau yang berpotensi menjadi Menteri untuk bertanding di sini kerana ia akan memberi manfaat yang besar kepada warga Putrajaya,” kata Tun Faisal.

Menurut dakwaan sumber dipetik Utusan Malaysia, Ahli Jawatankuasa Bahagian Putrajaya mendakwa, perancangan dibuat melalui satu pertemuan tertutup dengan sekumpulan kira-kira 50 ahli jawatan kuasa bahagian dan ketua cawangan untuk menyokong tindakan tersebut dengan diminta setiap orang menandatangani surat sokongan.

“Dalam pertemuan di rumah Ku Nan (Tengku Adnan) itu, telefon bimbit kami dipegang supaya segala inti pati termasuk ucapannya yang banyak memburuk-burukkan Tun Faisal tidak dirakam.

“Malah kami diberi tekanan menandatangani surat aduan bagi menghadapkan Tun Faisal ke Lembaga Disiplin dan diberi RM100 seorang semasa perjumpaan itu,” dakwanya.

 

 

(Visited 427 times, 1 visits today)

Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button