Uncategorized

PM Anwar optimis Malaysia mampu bangkit sebagai ekonomi dinamik

DI atas pentas antarabangsa, Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim yakin Malaysia mempunyai kemampuan besar untuk bangkit semula sebagai sebuah ekonomi dinamik berikutan mempunyai sumber diperlukan, tenaga kerja berkelayakan selain asas ekonominya yang kukuh.

Perkara itu ditegaskan Perdana Menteri Anwar yang juga berkata, Kerajaan Perpaduan juga telah merangka satu siri dasar iaitu Ekonomi MADANI, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) untuk kembangkitan semula ekonomi.

Menurut beliau, NETR yang terdiri daripada projek pemangkin bernilai RM25 bilion merupakan rancangan unik untuk menjadikan Malaysia sebagai hab bagi tenaga boleh baharu dan teknologi hijau.

Perdana Menteri Anwar berkata demikian pada majlis makan malam bersama diaspora dan pelajar Malaysia di New York, Amerika Syarikat.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, NIMP 2030 bukanlah olahan semula daripada rancangan lama tetapi merupakan peralihan daripadanya dengan memfokuskan kepada misi tertentu dan teras baharu.

“Minggu lalu, kami telah meluluskan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) yang mana bukan sekadar semakan biasa rancangan yang lama.

“Ia adalah anjakan penekanan, anjakan dasar, anjakan hala tuju dengan mengambil kira dasar tadbir urus baik kerajaan baharu, akauntabiliti demokratik dan mahu menggerakkan Malaysia sebagai sebuah negara yang berjaya dari segi ekonomi, sosial, pendidikan,” kata Perdana Menteri.

Sebagai sebuah negara perdagangan, Perdana Menteri Anwar berkata, kejayaan Malaysia sangat bergantung kepada keupayaannya dalam mempromosikan pelaburan dan memastikan kesinambungan perdagangan.

“Di sinilah anda memainkan peranan. Kita mahu setiap rakyat Malaysia di Amerika Syarikat menganggap diri mereka sebagai duta Malaysia, mewakili semangat Malaysia baharu dan komited kepada cita-cita kita.

“Anda harus menggalakkan rakan sekerja anda, rakyat Malaysia dan warga Amerika, untuk memahami dan mengenali Malaysia.

“Ini akan menjadi misi anda, dan saya berada di sini malam ini untuk merayu kepada anda, duta muhibah, untuk memberi tumpuan kepada mempromosikan perdagangan dan pelaburan,” ucap beliau.

Anwar berkata demkian di hadapan kira-kira 1,000 diaspora dan pelajar Malaysia yang hadir pada majlis makan malam tersebut.

Setakat ini, terrdapat kira-kira 25,000 rakyat Malaysia menetap di AS.

Walaupun mungkin terdapat sebahagian daripada diaspora sudah lebih 40 tahun menetap di Amerika Syarikat, namun Anwar yakin mereka masih mahu melihat Malaysia berjaya.

“Impian kita, impian saya dan impian anda adalah untuk memastikan Malaysia bangkit semula. Dan ingin saya zahirkan dari lubuk hati saya bahawa saya menaruh kepercayaan dan keyakinan penuh terhadap rakyat Malaysia.

“Walaupun ada antara anda berkata, saya telah berada di sini sejak 40 tahun lalu, ada yang mengatakan 20 tahun, tetapi anda adalah rakyat Malaysia yang sejati, yang cintakan negara dan mahu negara ini berjaya,” katanya.

Perdana Menteri Anwar yang tiba di New York pada Rabu, baru-baru ini menyampaikan Kenyataan Malaysia pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Ke-78 (UNGA78). – SM

(Visited 39 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button