Berita

Golongan wanita perlu sedia hadapi cabaran AI

Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Tuanku Fauziah (YTF), Tan Sri Datuk Seri Prof Dr Ng Yen Yen dalam perkongsiannya di dalam ‘Webinar Yayasan Tuanku Fauziah Sempena 20 Tahun Penubuhan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)’ yang berlangsung di Facebook Live Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) semalam berkata, golongan wanita perlu sedar dan bersedia dengan cabaran baharu dunia termasuklah perkembangan Kecerdasan Buatan (A.I.) yang digunakan secara meluas oleh institusi kewangan, saintis, ahli psikologi, pengamal perubatan, jurutera, perkhidmatan keselamatan, dan pelbagai lagi, begitu juga perubahan iklim dunia selain cabaran global dan di Malaysia.

Cabaran generasi hari ini adalah bagaimana untuk terus mengekalkan kemakmuran, keamanan serta perpaduan rakyat. Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum, agama, budaya dan adat resam dan perpaduan merupakan asas yang penting. Oleh itu pemimpin muda perlu peka dalam masalah ini, jelas beliau.

Anak muda merupakan pemimpin masa hadapan, justeru nilai murni dan pemerintahan yang baik mustahak bagi memastikan masyarakat terus maju.

Kekuatan mental dan kebijaksanaan emosi perlu bagi menghadapi tekanan hidup. Generasi muda perlu ada fikiran yang cemerlang bagi mengharungi media sosial yang penuh dengan berita palsu di mana mereka perlu berfikir, mencari konklusi dan tindakan terbaik dan bukan semata-mata menerima secara terus. Begitu juga kemahiran komunikasi dan sikap ingin tahu dalam ilmu.

Turut berangkat ke program yang dianjurkan oleh Bahagian Kajian Institusi Raja dan Komuniti, Pusat Keusahawanan, Jaringan Industri dan Masyarakat (CEICnet) UniMAP ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil merangkap Pengerusi YTF selaku perasmi majlis dan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Penasihat DiRaja Yayasan bertemakan ‘Women In Search Of Excellence (WISE) tersebut.

Sementara itu seorang lagi panel pada slot tersebut, Prof Emerita Tan Sri Dato’ Seri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin pula berkata, dahulu pelajar perempuan tidak dapat ke sekolah, namun hari ini banyak peluang wanita mendapatkan pendidikan dan kebanyakan pelajar di universiti hari ini adalah wanita. Kini ramai wanita berpendidikan tinggi tetapi peluang pekerjaan, kenaikan pangkat, gaji yang sama dan sebagainya masih lagi terhad.

Persepsi masyarakat perlu diubah di mana tanggapan bahawa wanita tempatnya hanyalah di rumah perlu dihapuskan. Lebih penting adalah minda wanita itu sendiri yang menerima persepsi dan stereotaiping peranan wanita sebagai kenyataan. Ini merupakan ‘self imposed psychological barrier’ bagi wanita untuk tampil sebagai pemimpin dan mereka sentiasa berasa kurang keyakinan meskipun memiliki pendidikan tinggi. Justeru, galakkan dan motivasi melalui kaedah ‘mentoring’ perlu terus diberikan.

Untuk menembusi halangan psikologi ini suami isteri perlu mengamalkan konsep ‘shared responsibilities’. Memang benar isteri itu melahirkan anak, namun membesar dan memupuk anak itu adalah tanggungjawab bersama. Beliau menambah, suami perlu membantu isteri melaksanakan kerja rumah dan menjaga anak-anak. Oleh itu, sedari kecil anak lelaki perlu disuruh melakukan kerja rumah dan menanamkan kepada anak perempuan mereka juga boleh menjadi pemimpin dan mengembangkan bakat dewasa kelak.

Jadi, sebagai pemimpin kita perlu tahu bahawa dunia bergerak begitu pantas dan akan berlaku banyak perubahan di masa hadapan. Ini termasuklah tren demografi, ekonomi, sosial, impak teknologi dan wabak penyakit dan sebagainya. ‘Artificial intelligence’ A.I. akan mengambilalih banyak tugas manusia. Penggunaan teknologi akan memberikan kesan positif dan negatif kepada generasi kita dan ia perlu disedari oleh semua.

(Visited 225 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button