fbpx
Politik

Gesaan Anwar henti bincang peralihan kuasa tidak meyakinkan

GESAAN Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim agar semua pemimpin dalam Pakatan Harapan menghentikan perbincangan secara terbuka mengenai peralihan kuasa dianggap sebagai tidak meyakinkan.

Jelas Penganalisis Politik dari Universiti Utara Malaysia, Dr. Kamarul Zaman Yusoff, Anwar tidak sepatutnya hanya menggesa tetapi perlu mengarahkan perbincangan tersebut dihentikan.

 Pada hemat saya, kenyataan Datuk Seri Anwar ini adalah tidak meyakinkan. Kenyataan yang lebih meyakinkan sepatutnya akan berbunyi begini:

“Saya mengarahkan semua penyokong saya, baik di dalam atau di luar Pakatan Harapan, untuk menghentikan segala kenyataan dan gerakan yang dirancang bagi menekan Tun Dr. Mahathir supaya meletakkan jawatan pada Mei 2020,” kata Kamarul Zaman.

Kamarul Zaman turut mempersoalkan mengapa Anwar tidak menegur Otai Reformis 1998 dalam kenyataannya hari ini.


“Ini kerana, seperti yang diumumkan semalam, Otai Reformis 1998 dan NGO-NGO telah merancang untuk memulakan satu gerakan besar di seluruh negara bagi menuntut Tun Dr Mahathir meletakkan jawatan pada Mei 2020.

“Soalnya mengapa Datuk Seri Anwar tidak menegur Otai Reformis 1998?” tanya Kamarul Zaman.

Anwar dalam satu kenyataan hari ini menggesa semua pihak dalam Pakatan Harapan agar tidak membincangkan soal peralihan kuasa Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad kepada beliau secara terbuka.

Menurut Anwar, PH dan Dr. Mahathir telah berulang kali menegaskan komitment untuk menjayakan proses transisi seperti yang telah dipersetuji.

“Saya menggesa semua pihak dalam Pakatan Harapan (PH) untuk tidak membicarakan soal peralihan kuasa secara terbuka dan menghormati konsensus yang telah disepakati pada Januari 2018.

“Maka sewajarnya kita turut menghormati keputusan tersebut agar ianya berlaku secara aman dan teratur,” kata Anwar.

Topik peralihan kuasa antara Dr. Mahathir dan Anwar menjadi isu hangat dalam kalangan pemimpin dan penyokong PH terutama dari PKR dan DAP.

Ada antara mereka secara terbuka mahu Dr. Mahathir menetapkan segera tarikh sebenar beliau mahu menyerahkan kepimpinan kepada Anwar.

Gesaan tersebut menyebabkan kepimpinan dalam Bersatu turut mengeluarkan kenyataan menempelek pihak tersebut dan mempertahankan Dr. Mahathir sebagai perdana menteri.

Terbaharu Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P Ramasamy mengecam Ketua  Pemuda Bersatu, Syed Saddiq Abdul Rahman kerana mengkritik beliau dan beberapa pemimpin PH lain kerana tak habis-habis bercakap mengenai isu peralihan kuasa.

Tanpa selindung, Ramasamy berkata Ketua Pemuda PH sepatutnya “merapatkan jurang” dan tidak mempersoalkan hak demokratik mereka untuk meminta Dr. Mahathir menghormati perjanjian menyerahkan kepimpinan negara kepada Anwar.-SM

 

 

 

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button