Politik

Nama Speaker DUN Selangor diumum pada mesyuarat pertama sidang

MENTERI Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, nama speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor akan diumumkan serentak pada mesyuarat pertama persidangan DUN yang dijadual selepas sambutan Hari Malaysia, bulan depan.

“Kita akan umum selepas Hari Malaysia sebab dewan dijangka mengangkat sumpah dan pembukaan sidang selepas itu… jadi pelantikan speaker dengan sidang pertama tu akan dibuat serentak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Penjawat Awam dan Pelancaran Kempen Jalur Gemilang peringkat negeri Selangor.

Speaker DUN Selangor pada penggal sebelum ini diisi oleh Adun Sekinchan dari DAP, Ng Suee Lim.

Beliau dilantik sebagai exco selepas mempertahankan kerusi berkenaan pada PRN, 12 Ogos lalu.

Kepimpinan DAP sebelum ini meletakkan syarat jawatan speaker diberikan kepada parti itu sebagai pertukaran menyerahkan DUN Dusun Tua kepada UMNO pada PRN.

Setiausaha Agung DAP yang juga Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, parti mencadangkan bekas Adun Banting, Lau Weng San dilantik sebagai Speaker DUN Selangor bagi penggal ini.

Mengenai portfolio 10 exco kerajaan negeri, Amirudin yang juga Pengerusi PH Selangor berkata, beliau akan berjumpa Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim lewat hari ini untuk memuktamadkan senarai berkenaan sebelum diumumkan kepada semua exco pada mesyuarat pertamanya esok.

Katanya, beberapa portfolio juga akan dijenamakan semula bagi melancarkan pentadbiran antara kerajaan negeri dan pusat khususnya melibatkan kos sara hidup dan perubahan iklim.

“Malam nanti saya akan bersama PMX (Anwar) untuk memuktamadkan senarai (portfolio).

“Kita terpaksa selaraskan balik dengan peringkat persekutuan sebab akhirnya tugasan kita perlu berurus tadbir dengan pihak kerajaan pusat,” katanya. – FMT – SM

BACA Speaker DAP tegur ADUN BN, Pas berbaju Melayu di DUN Selangor

 

(Visited 66 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button