Politik

Farhash tuntut Zuraida minta maaf tuduh dirinya gangster

KEMELUT dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR) terus bergolak pada hari pertama tahun baharu apabila Setiausaha politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak menghantar notis mahu Naib Presiden parti itu, Zuraida Kamaruddin memohon maaf tanpa syarat kepadanya.

Dan jika tiada sebarang kenyataan maaf dikeluarkan Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan berhadapan tindakan undang-undang, yang boleh dikenakan ganti rugi, kos, faedah, injunksi dan sebarang perintah ansiliari yang mungkin diperintahkan mahkamah.

Langkah permohonan maaf ini perlu dilakukan dalam tempoh 7 hari bermula tarikh notis dikeluarkan, iaitu 23 Dis lalu, kerana mendakwa Zuraida membuat ucapan yang mengandungi dakwaan tidak berasas terhadapnya.

Tindakan ini dilakukan berhubung ucapan Zuraida dalam satu majlis makan malam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada awal Disember lepas.

Dalam notis yang difailkan menerusi Mohd Ashraf, Nik Zarith & Co, beberapa bahagian dalam ucapan Zuraida itu membawa maksud Farshah seorang “gangster”, ada “niat jenayah” dan “agenda tersembunyi”, dan “menggunakan keganasan dan taktik menakut-nakutkan” untuk mencapai matlamat.

Menurut laporan FMT, Zuraida didakwa membuat kenyataan berunsur fitnah, merosakkan dan tidak berasas terhadap Farhash dan mahu permohonan maaf itu disiarkan dalam akhbar  The Star dalam tempoh yang sama.

“Anak guam kami sangat percaya kenyataan-kenyataan fitnah tersebut, dibuat oleh anda dengan niat jahat.

“Akibat daripada kenyataan tersebut, anak guam kami mengalami kerugian dan hilang reputasi,” menurut peguam Farhash, Nik Zarith Nik Moustpha dalam notis itu. -SM

(Visited 269 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button