fbpx
Politik

Gesa amalan politik muafakat diperteguhkan

SEDAR bahawa senario politik semasa sudah berubah yang menyaksikan suara majoriti Melayu bukan hanya diwakili oleh UMNO, maka satu strategi harus dirangka untuk memastikan parti terus kekal kuat, berkuasa dan relevan memperjuangkan hak rakyat.

Amalan Permuafakatan politik yang berasaskan konsep kerjasama (Ta’awun) dan wujud bersama (Ta’ayush) adalah antara strategi diyakini mampu menjamin kelangsungan UMNO yang kini bukan lagi satu-satunya pilihan orang Melayu di dalam memperjuangkan hak dan nasib bangsa.

UMNO Bahagian Ketereh dalam satu usul politik menegaskan, hanya dengan kuasa politik Melayu Islam yang utuh sahaja mampu untuk menjamin kesinambungan membela agama serta bangsa Melayu di Malaysia.

Mesyuarat perwakilan bahagian berkenaan turut mengakui kuasa politik orang Melayu juga sering terancam terutamanya berpunca dari perpecahan sesama bangsa Melayu dan kaum Bumiputera.

“Menyedari UMNO wadah politik Orang Melayu ditubuh dengan matlamatnya seperti termaktub dalam perlembagaan, membela kepentingan dan hak bangsa Melayu dan kaum Bumiputera, Islam dan Raja Berperlembagaan serta hak rakyat yang telah termaktub dalam Perlembagaan Negara.


“Sehubungan itu, UMNO Bahagian Ketereh ingin cadangkan untuk terus pastikan pemerintahan kerajaan Malaysia berteras kepada kuasa politik orang Melayu dan Bumiputera yang bekerjasama dengan semua kaum bagi menjaga kepentingan orang Melayu dan agama Islam tanpa meminggir hak kaum dan agama lain.

“UMNO Bahagian ini juga konsisten kekal dengan pendirian sepertimana diputuskan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berhubung kerjasama politik menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang iaitu menolak kerjasama dengan DAP dan Anwar Ibrahim. ‘No DAP, No Anwar’ atau sesiapa sahaja bersekongkol dengan DAP,” katanya dalam satu kenyataan media UMNO Bahagian Ketereh.

Kenyataan berhubung usul politik sesi mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Ketereh itu diadakan hari ini di Dewan Tun Ghafar Baba, Kompleks YKK Kota Bharu.

Dalam pada itu, usul supaya UMNO harus teguh dalam menjunjung dan memperjuang keluhuran Perlembagaan Persekutuan dengan berasaskan Kedaulatan Undang-undang Negara dengan teras utamanya, Islam adalah Agama Persekutuan dan Raja-Raja Melayu dipertahan selain keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera dipelihara.

“UMNO Bahagian ini juga sepakat mengusulkan supaya UMNO memperkukuh dan memperteguh ikatan silaturrahim bukan sahaja dalam kalangan ahli UMNO tetapi turut mengeratkan kerjasama dalam kalangan Melayu, NGO dan parti politik Melayu tanpa meminggirkan hak kaum lain atas semangat Negara Bangsa Malaysia tercinta.

“UMNO Bahagian Ketereh menyedari perpecahan kalangan parti dan orang Melayu, mengundang musibah, membawa kehancuran kepada semua pihak. Justeru, kesatuan serta perpaduan kukuh amat penting untuk mendepani apa-apa cabaran termasuk PRU-15 akan datang,” ujarnya.

Di samping itu, usul tersebut turut menyokong kerjasama dengan mana-mana parti mempunyai aspirasi dan perjuangan sama bagi mempertahan Islam, hak Melayu serta Bumiputera, Raja-Raja Melayu, Bahasa Melayu dan apa saja yang telah termaktub berdasarkan Perlembagaan.

Bagi pastikan UMNO dapat menang cemerlang pada PRU-15, Bahagian Ketereh turut menyokong usaha memperkasakan Muafakat Nasional (MN) serta memperteguh permuafakatan BN, PN, GPS dan GRS sebagai persiapan menentang PH kelak.

“Kami juga menggesa pucuk pimpinan parti agar terus berunding secara bijaksana kalangan parti sahabat dan sealiran sehingga dapat wujud satu persefahaman padu ke arah menghadapi PRU15,” tegasnya. -SM

(Visited 77 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button