AgamaAnalisis

G70 harus muhasabah diri sendiri, jujur kepada Islam dan umat Melayu

PENGERUSI Biro Hal Ehwal Islam dan Kepimpinan, Putra Malaysia (PUTRA), Datuk Seri Dr. Mohammad Fairus Khairuddin merujuk kepada kenyataan-kenyataan yang baru-baru ini dikeluarkan oleh Pertubuhan Profesor G70 (G70), adalah sesuatu yang amat dangkal dan tidak tepat.

Beliau berkata, apakah mereka selama bertahun-tahun ini tidak menginsafi denyut nadi umat Melayu-Islam?

“Apakah mereka tidak benar-benar memahami apa yang telah berlaku dalam lanskap politik tanah air selama ini?,” soal beliau.

Nasihat mereka kepada ahli-ahli politik sebenarnya berbalik kepada wajah-wajah mereka sendiri, ujar Mohammad Fairus dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pada hakikatnya oleh kerana rakyat khususnya umat Melayu-Islam mengikuti secara dekat segala perkembangan politik tanah air ini maka mereka telah memperlihatkan tekad yang luhur untuk terus bangkit berjuang demi mempertahankan kedaulatan Islam dan memelihara maruah bangsa Melayu dengan lebih beradab dan bermakna.

Tambah beliau, oleh kerana rakyat Malaysia khususnya umat Melayu Islam amat prihatin terhadap segala untung nasib Agama Islam yang suci dan maruah bangsa Melayu yang berdaulat inilah maka mereka mengatur kebangkitan memperjuangkan dan mempertahankan maruah agama Islam, kemuliaan bangsa Melayu dan kedaulatan negara ini.

“Ia lahir dari sikap yang amat bertanggungjawab beserta kesedaran yang jitu kerana telah sekian lama melihat akan nasib agama dan bangsa di bumi sendiri,” katanya.

Katanya lagi, pelbagai isu yang telah berlaku yang melatari kalangan Pakatan Harapan (PH) dan sekutunya  semakin meresahkan jiwa pejuang- pejuang agama dan bangsa.

Isu Kalimah Allah yang sangat penting dan utama untuk diperhatikan serta dibela agar kesucian ad- Deenul Islamiyyah tidak tergadai, kata Mohammad Fairus.

“Ia adalah soal usul aqidah yang wajib dipertahankan. Ia bukan soal picisan. Seterusnya, isu-isu memualkan berkaitan LGBT yang telah amat jelas nyata mulai berlaku kini dan ia amat merungsingkan.

“Apakah mereka semua dalam G70 tidak celik mata batinnya untuk menyedari semua permasalahan ini yang semakin membarah?” katanya.

Justeru, oleh kerana sekelian para pejuang agama dan bangsa ini amat prihatin serta istiqamah berjuang dengan jujur maka segala langkah dakwah dan tarbiyah umat ini harus diteruskan, katanya.

“Sebagai umat Islam, memang sewajarnyalah kita semua harus terus istiqamah berbicara berkenaan Islam dan umat Melayu ini dalam ruang dan hak yang telah jelas nyata dijamin dalam Perlembagaan negara bertuah ini,” jelas beliau.

Mohammad Fairus  berkata, sebenarnya, pihak G70 lah yang harus bertanggungjawab menasihati Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim agar beradab dan memelihara akhlak ketika berpidato agar tidak mendedahkan kerendahan adab dan akhlak serta harus jujur dalam berkata-kata khususnya janji-janji manis kepada rakyat yang banyak masih tidak tertunai.

Sebagaimana sabdaan junjungan mulia Nabiyuna Muhammad s.a.w iaitu yang mafhumnya berbunyi; “Sampaikanlah dariku walau sepotong ayat”, maka kewajipan berdakwah adalah menjadi tanggungjawab setiap umat Islam tanpa prejudis lagi mengikut tahap ilmu dan kapasiti serta kelayakan masing-masing, katanya dalam kenyataan yang sama.

Beliau berkata, malah G70 sepatutnya insaf siapakah  dan pihak manakah yang sering mengingkari janji-janji dan yang lebih berat lagi terdapat pula kesan adanya fahaman-fahaman yang memudaratkan Islam dan umatnya seperti Liberalisme dan Pluralisme agama yang sejak kebelakangan ini semakin menjadi-jadi onarnya, wal iyazubillah.

“Ini yang seharusnya diperjuangkan oleh G70 agar menjadi benteng umat dan agama. Bukannya menjadi kumpulan sorak kepada pihak tertentu. Ia amat memalukan dan merendahkan kredibiliti mereka sendiri.

“Sesungguhnya Allah swt Maha Melihat segala-galanya dan Maha Adil terhadap setiap sesuatu.

“HasbunAllahi wani’mal wakeel. Berjuang demi Islam, Melayu dan Raja adalah cogan kata “resmi” umat bermaruah dan bangsa berdaulat di Tanah Melayu bumi berdaulat ini, “ kata Mohammad Fairus. – SM

BACA PUTRA tentang keras Program Jom Ziarah Gereja, buat laporan polis

BACA Putra bakal jadi GTA, ganding bahu dengan PN pada PRU16?

 

(Visited 278 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button