Politik

“Bulan sudah jatuh ke riba”: Kalau UMNO tak berubah, apa lagi nak dikato?

KOMENTAR

SETAHUN 10 bulan tidak ada kuasa, UMNO pasti sudah merasai pahit getirnya.

Dihina macam-macam, `disepak terajang’ sana sini, seakan jasa UMNO dan Barisan selama lebih 60 tahun tidak dikenang.

Kalau UMNO tidak mahu berubah setelah `bulan jatuh ke riba’ akibat cacamarba kerajaan Pakatan Harapan ((PH) itu sendiri, tak tahulah apa hendak dikata lagi. Ibarat menggali kubur sendirilah dalam Pilihan Raya Umum ke-15.

Masakan UMNO lupa sebaik sahaja menyembah bumi pada malam 9 Mei 2018, tiada lagi TV3 dan RTM menyokong UMNO. Tiada lagi akhbar itu yang `merajai’ UMNO hingga titisan darah terakhir dengan headingnya “Apa lagi Cina mahu’?

UMNO selepas pembentukan Kabinet Perikatan Nasional kelmarin, harus berubah. Bukan sikit-sikit, tapi 360 darjah.

UMNO harus lahirkan ramai ikon anak muda. Tidak cukup dengan KJ, Asyraf Wajdi, Shahril Hamdan, Razlan, tapi mahu lebih ramai lagi. UMNO jangan lagi dikelilingi pembodek. Institusi seperti JASA tidak lagi relevan, buat habis bogheh jo.

UMNO perlu kuasai Big Data sebelum masuk gelanggang PRU-15. Masuk dengan jangkaan, ramalan atau `fakta-fakta’ daripada pembodek, alamat lingkup kali kedua lah.

Dominasi FB dan WhatsApps. Wujudkan sukarelawan maya. Tarik mereka yang kreatif bikin video, montaj yang cool. Cukuplah membayar syarikat atau portal yang dicipta oleh editor-editor akhbar yang suatu ketika misi mereka `melingkupkan’ syarikat tempat mereka bekerja sebelum ini. Membazir semuanya ke laut.

Cari arus baharu. Pakat dengan kumpulan baharu – dengan saluran baru yang lebih segar.

UMNO sebelum PRU-14 rosak dari kepala hingga ke ekor. Rakyat menolak UMNO. Kali pertama parti menuntut kemerdekaan ini tersembam ke bumi.

UMNO dulu hidup atas wang. Tiada pelincir tidak bergerak. Ahli UMNO datang mesyuarat dapat elaun. Datang Perhimpunan Agung dapat duit belanja dan bermalam di hotel-hotel sekeliling PWTC. Siapa bayar? Ketua Bahagian yang ada dalam kalangan mereka berstatus Menteri dan seumpama.

UMNO dipimpin oleh sebilangan ketua yang berlagak seorang “ahli perniagaan sekelip mata”. Ada jual kuota pekerja asing. Ada ketua bahagian kaut projek mega kerajaan. Ada dapat AP kereta.

Bila ada kedudukan Ketua Bahagian, mahu duduk lama. Tidak mahu lepas jawatan pada muka baharu. Sekat orang lebih pandai dari dia. Maka dipilih cuma yang `ala ala’ jadi ahli UMNO. Ya, mahu pastikan jaminan kekal kerusi Ketua Bahagian.

Rakyat marah bila mana ada anak ketua bahagian pakai Range Rover, Alphard, panamera, kahwin dengan artis, melancong ke Eropah. Semuanya serba mewah. Duit siapa? Duit rakyat.

Begitu juga dengan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO. Termasuklah Exconya. Mereka bukan lagi menjadi jentera rakyat, turun padang. Tetapi kejar projek untuk suap habuan ke setiap sayap cawangan.

Tengok sahaja PRU yang lepas. UMNO masih letakkan calon Ketua Bahagian di Parlimen. Lebih kurang 42 peratus ketua Bahagian. Calon muda dinafikan.

Kenapa? Kerana seseorang presiden harus mengukuhkan kedudukannya dalam parti selain kemenangan dalam pilihan raya. Malangnya, semua dapat bala.

Ada ketua bahagian mengugut. Ada ketua bahagian selama empat, lima penggal berkuasa. Mereka sabotaj pula calon payung terjun. Semua ini gara-gara tonggak dalam UMNO sendiri. Inilah sistem yang merosakkan UMNO.

Bayangkan untuk mencari ahli baharu, jentera turut dibayar dengan wang. Siap kira kepala? UMNO bukan majikan. UMNO adalah parti keramat. Parti perlu mendapatkan ahli dengan penuh kehormatan.

Akibat UMNO yang bobrok semasa itu, UMNO hilang segalanya. Tiada lagi pemimpin orator. Tiada lagi cerdik pandai. Tiada lagi agamawan yang ikhlas di pentas. Tiada lagi pemimpin sejati.

Tiada lagi apa-apa. Yang tinggal hanya pemimpin yang kurang serba serbi. Kata Pak Meon “yang tinggal, yang tolol wal bahlul”.

Lihat PKR, Parti Bersatu, DAP dan Pas. Mereka ada ahli smapai 3.7 juta orangkah? Belajar bagaimana mereka bertahan sebagai pembangkang puluhan tahun.

Tengok ahli DAP PKR. Berapalah sangat ahli mereka? Berapa ramai pula undi mereka? Tak sampai pun satu juta. Tapi mereka dapat undi majoriti rakyat Malaysia.

Ahli tidak menjamin kemenangan dalam pilihan raya. Rakyat pengundi yang harus dijaga. Berapa aktif cabang dan ranting PKR? Berapa keahlian Parti Bersatu di bahagian? Ada cawangan ke mereka?

Mereka hanya ada pejabat negeri sahaja. UMNO di setiap daerah dan bahagian punya pejabat. Tapi adakah ia bermanfaat untuk parti sehingga tersungkur dalam PRU-14?

Tepuk dada, tanya selera. Peletakan sebilangan pemimpin UMNO dalam Kabinet baharu Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ibarat bulan jatuh ke riba.

Kalau tak berubah, apa lagi nak dikato. – SM

(Visited 238 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button