Politik

Wakil rakyat pembangkang lapor bendera putih dikibar di kawasan mereka

BEBERAPA wakil rakyat Pakatan Harapan melaporkan terdapat bendera putih dikibarkan oleh rakyat di kawasan mereka kerana memerlukan bantuan.

Mereka berkongsi gambar penduduk di kawasan masing-masing yang terpaksa mengibarkan bendera putih di rumah masing-masing sebagai tanda mereka mahu pertolongan.

Antara yang berkongsi gambar adalah Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Pasing Muhammad Faiz Fadzli.Menurutnya, beliau dihubungi apabila terdapat sebuah rumah di kawasannya mengibarkan bendera putih.

Muhammad Faiz mengakui walaupun bantuan kepada keluarga yang memerlukan sentiasa diberikan namun masih ada keluarga yang mungkin beliau terlepas pandang.

“Menginsafi amanah yang diberikan dan amalan tolong-menolong dalam kebajikan yang diangkat tinggi dalam agenda keadilan sosial, saya singgah ke rumah tersebut. Rumah ini didiami oleh saudara Shahril dan adiknya.

“Walaupun beliau berumur 43 tahun, namun keadaan dirinya yang mengalami kemalangan menyukarkan beliau bekerja tetap. Di tambah pula PKP, keluarga ini telah terputus bekalan makanan.

“Saya menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada keluarga ini bagi membantu hidup mereka buat seketika. Saya juga telah meminta pegawai pejabat Kadun Permatang Pasir untuk menghubungi Pusat Zakat Pulau Pinang esok bagi membantu keluarga ini untuk mendapat pembelaan yang lebih baik meneruskan kehidupan,” kata ADUN Amanah itu.

Rakyat yang turut mengibarkan bendera putih berlaku di kawasan Ahli Parlimen Johor Bahru Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Ketua Angkatan Muda Keadilan itu berkata, kibaran bendera putih benar-benar berlaku dan dikesan oleh krew #FoodbankJB yang melakukan rondaan di sekitar Larkin, Johor Bahru. Kumpulan itu terlihat sebuah unit pangsapuri mengibarkan bendera putih.

“Mereka bergegas menuju ke sana dan mendapati 2 buah keluarga yang tinggal di rumah tersebut terputus bekalan makanan.

“Apabila ditanya, bendera putih baru dikibarkan pagi ini dan mereka kehilangan pendapatan sejak PKP bermula dan tidak tahu hendak mendapatkan bantuan di mana.

“Sukarelawan menyerahkan sumbangan makanan serta nombor telefon Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Johor Bahru sekiranya ada apa-apa yang dibantu akan datang,” kata Ahli Parlien Johor Bahru itu.

Turut melaporkan rakyat mengibarkan bendera putih adalah Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok.

Menurut Teresa, pusat perkhidmatannya dimaklumkan terdapat bendera putih dikibarkan di kawasan Kucahi Entrepreneur Park.

“Pembantu saya Edmund dan Alice pergi ke unit itu untuk bertanya dan mendapati bahawa penduduknya adalah pelarian Myanmar yang sangat memerlukan makanan. Kakitangan saya kemudian memberi mereka bantuan makanan.

“Kami gembira kerana dapat membantu rumah pertama yang telah menaikkan bendera putih pertama di kawasan saya,” kata Ahli Parlimen DAP itu.

Sementara itu Ahli Parlimen Simpang Renggam Dr. Maszlee Malik dalam Facebooknya berkata, tiga rumah penduduk di kawasannya telah memasang bendera putih.

Maszlee berkata, kempen kibarkan bendera putih meminta masyarakat yang terhimpit dengan masalah ekonomi dan tidak tahu tempat untuk mengadu agar meletakkan bendera di hadapan rumah masing-masing supaya pertolongan dapat dihulurkan kepada mereka.

“Kami mendapat laporan rumah ketiga di dalam kawasan Parlimen Simpang Renggam telah memacakkan bendera putih. Terus rakan-rakan dari Amanah bergegas pagi ini ke rumah tersebut seraya menyerahkan bantuan.

“Terima kasih Amanah Simpang Rengam, teruskan usaha menyantuni warga DUN Machap dan Parlimen Simpang Renggam! Bendera putih bukan tanda menyerah tetapi pemugaran sikap masyarakat pemurah! “Daripada rakyat kepada rakyat,” katanya.

Untuk rekod Kerajaan telah menyaluarkan peruntukan sebanyak RM300,000 untuk Program Bantuan Bakul Makanan kepada setiap ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang bermula Khamis.

Peruntukan tersebut sebahagian daripada Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin Isnin lalu.

Program Bantuan Bakul Makanan yang digerakkan oleh Kerajaan adalah inisatif bantuan bekalan makanan kepada rakyat yang amat memerlukan pertolongan.-SM

(Visited 424 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button