Nasional

Enam ekor lembu tumbang, guna kaedah menabung laksana ibadah korban

Wartawan Suara Merdeka

MELAKA 12 Julai – Sebuah keluarga di Taman Nirwana, Batang Tiga dekat sini menggunakan kaedah menabung setiap bulan bagi membolehkan ahli keluarga, ipar dan sanak-saudara yang tidak berkemampuan untuk melaksanakan ibadah korban tahun ini.

Penganjurnya, Aswane Zulkifli Stork, 53, berkata, melalui kaedah itu sebanyak 12 ahli keluarga dapat mengumpul RM31,550 bagi membeli sebanyak enam ekor lembu untuk menjalani ibadah korban di rumah ibunya di Jalan Nirwana 12 di sini semalam.

Menurutnya, kaedah itu mula diperkenalkan sejak tahun 2020 dan mendapat sambutan yang mengalakkan daripada ahli keluarganya.

Beliau berkata, tahun lalu mereka berjaya melaksanakan ibadah itu dengan menumbangkan sebanyak enam ekor lembu walaupun ketika itu negara dilanda pandemik Covid-19.


Penduduk membantu mengasingkan daging korban untuk diagih-agihkan kepada penduduk, asnaf dan fakir miskin.

Ujarnya, idea untuk melaksanakan kaedah menabung itu bertujuan bagi memberi peluang kepada ahli keluarga yang tidak berkemampuan dapat melaksanakan ibadah korban setiap tahun.

“Untuk ibadah korban tahun ini, setiap keluarga mula menabung sebanyak RM100 sebulan bermula November tahun lalu dan berjaya mengumpul sebanyak RM31,550 daripada 12 keluarga bagi pembelian enam ekor lembu.

“Kadar bayaran itu ditetapkan mengikut harga pasaran lembu yang mana saya sudah buat tempahan awal dengan penternak.

“Jika harga pasaran lembu naik pada ibadah korban tahun hadapan, kita akan naikkan wang tabungan setiap bulan kerana pada ibadah tahun ini kita tetapkan harga RM750 untuk satu bahagian.

“Ibadah korban tahun ini paling meriah sejak dua tahun lalu apabila penduduk turun beramai-ramai bergotong royong,” ujarnya ketika ditemui selepas menjalani ibadah korban di rumah ibunya di Taman Nirwana dekat sini semalam.

Aswane berkata, kaedah menabung sebegitu dapat mengurangkan rasa beban kepada ahli keluarga yang berniat melaksanakan korban.

Menurutnya, menyertai ibadah itu disunatkan kepada yang mampu namun bila menggunakan kaedah menabung, ahli keluarga tidak merasa terbeban sangat untuk membayar sekali gus ketika rakyat berdepan dengan kenaikan kos hidup.

Beliau berkata, daging korban diagih-agihkan bukan sahaja kepada penduduk di Taman Nirwana tetapi juga kepada golongan asnaf dan fakir miskin.

Menurutnya, seramai 60 penduduk di taman berkenaan sejak pukul 8.00 pagi bergotong-royong melapah daging korban termasuk ahli kariah Masjid Al-Aminin dan Masjid Lama Batang Tiga.

(Visited 253 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button